e-Risalah USIM - Edisi Mei 2021
Solidariti USIM untuk Palestin Munajat Untuk Palestin yang berlangsung secara dalam talian menghimpunkan sejumlah 30 orang tetamu khas yang dijemput untuk meluahkan rasa dan ekspresi mereka melalui bait-bait puisi, nyanyian kerohanian dan tazkirah. Mereka terdiri daripada Pengurusan Universiti, Karyawan Seni USIM, Ikon Seni, staf, alumni dan pelajar antarabangsa. S okongan dan perhatian masyarakat dunia pada bumi Palestin tidak pernah surut kerana kekejaman rejim Zionis pada penduduk di sana tidak pernah berhenti. Peperangan dan penganiayaan yang berlaku terhadap rakyat Islam Palestin sesuatu yang tidak boleh dipandang enteng. Menyedari hakikat itu, USIM tidak terkecuali bersolidariti bersama masyarakat global memberi sokongan kepada Palestin dan mengecam Israel melalui platform keseniaan dengan penganjuran program Munajat Untuk Palestin. Penganjuran program Munajat Untuk Palestin oleh Pusat Kebudayaan USIM merupakan usaha untuk meningkatkan kesedaran dan keinsafan dalam hati sanubari umat Islam untuk membantu dan menggambarkan suara kemanusiaan sejagat. Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed, suara-suara semangat menentang keganasan Zionis Israel harus ditonjolkan dalam pelbagai bentuk. “Kita berbesar hati kerana beberapa personaliti seni tanah air turut bersama dalam program ini antaranya Ahmad Fedtri Yahya, Dato’ Nash, Siso Kopratasa, Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman dan Muhammad Razin Che Mud. Perkongsian dari pelajar antarabangsa USIM yang berasal dari Palestin, Shehab Heba Am mengenai penderitaan yang dialami oleh keluarganya di Gaza yang terlibat dalam serangan Israel semasa Ramadan dan Syawal baru-baru ini juga amat mengesankan”, ujarnya. Pengisian Munajat Untuk Palestin yang diadakan secara dalam talian sepenuhnya dimulai dengan persembahan nyanyian Seperti Inikah Dunia nyanyian duet oleh Ikon Seni dan pelajar USIM, diikuti perkongsian Masjid al-Aqsa: Sebuah Muhabasah dari Karyawan Seni USIM, Ahmad Fedtri Yahya. Persembahan deklamasi puisi turut disertai oleh Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Selain itu, beberapa pelajar antarabangsa USIM daripada Jordan, China dan Indonesia turut bersemangat melaungkan solidariti kepada Palestin dengan persembahan puisi yang penuh dengan penghayatan yang dibaca dalam bahasa ibunda negara masing- masing. Karyawan Seni USIM Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman menghuraikan terjemahan surah Ali Imran ayat ke-28 yang mengingatkan orang Islam untuk tidak menjadikan orang kafir sebagai pemimpin di kalangan orang Islam. Selain itu juga, beliau juga mengajak para tetamu dan penonton untuk melakukan solat hajat dan berdoa sebagaimana yang dilakukan oleh bapa beliau apabila mendapat berita tentang peperangan di Palestin. Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin memuji pelaksanaan program ini dengan menggunakan pendekatan kreatif dan teknologi semasa untuk disesuaikan dengan norma baharu dan mengekang penularasan pandemik COVID-19 . Beliau juga mengharapkan agar semangat berjuang terus hidup dalam diri setiap warga USIM dan sentiasa berdoa akan kesejahteraan ummah. “Penentangan kepada musuh yang ingin menghapuskan umat Islam harus ditentang sekeras-kerasnya. Melalui medium seni, kita tampil kehadapan dan muncul untuk menunjukkan solidariti kepada Palestin. Ini kerana laungan solidariti dari suara-suara seni juga mampu meningkatkan semangat kebersamaan kita dengan saudara seIslam kita di Palestin”. Ismail Ahmed Pengarah Pusat Kebudayaan USIM MEI 2021 8 |
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=