e-Risalah USIM - Edisi Julai 2021

Walaupun terdapat banyak kempen kesedaran dibuat oleh pihak kerajaan, namun apa yang menyedihkan, terdapat golongan tertentu yang menentang dengan menakut-nakutkan orang ramai supaya tidak mengambil vaksin Covid-19 ini. Pelbagai tomahan yang tidak dapat dipastikan sejauhmana kesasihan serta sumbernya disebarkan kepada orang ramai dengan tujuan agar mereka tidak mengambil vaksin tersebut. Sudahlah ‘berperang’ dengan wabak Covid-19, pihak kerajaan kini juga terpaksa ‘berperang’ bagi menangani golongan ini juga pada masa yang sama. Perkara utama yang wajib diketahui oleh setiap individu dalam masyarakat adalah pemberian vaksin bagi mencegah wabak Covid-19 ini tidaklah dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak kerajaan. Dokumen Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menyatakan bahawa vaksin adalah merupakan produk yang sentiasa dipantau dalam aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya. Setakat ini vaksin Covid-19 untuk Malaysia diberikan kelulusan bersyarat berdasarkan pematuhan piawaian ketat melalui penilaian data-data saintifik, klinikal dan teknikal. Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bertanggungjawab untuk menilai setiap setiap vaksin yang hendak didaftarkan di Malaysia. Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) akan meluluskan penggunaan vaksin tersebut untuk Malaysia berdasarkan hasil penilaian NPRA. Seterusnya pula, setiap kategori vaksin yang akan digunakan di Malaysia dipantau daripada aspek kepatuhan mengikut Piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Selepas vaksin mula diberikan kepada penduduk di Malaysia, pemantauan aduan kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) akan dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Umat Islam tidak seharusnya berasa ragu tentang hukum penggunaan vaksin covid-19 ini. Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) ke-10 telah memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus bagi melindungi manusia manusia daripada penyakit berbahaya dan bukanlah suatu perkara yang asing daripada perspektif hukum Syarak. Selaras dengan keputusan ini, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan juga telah memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh mereka yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Keputusan ini sudah pastinya dibuat berdasarkan dalil-dalil syarak dan mereka yang arif dan berotoriti dalam bidang ini. Perlu difahami, apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan di dalam melaksanakan program vaksinasi ini adalah merupakan suatu kepentingan yang asasi atau ad-dharuriyyat . Kepentingan asasi atau ad-dharuriyyat sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para fuqahak adalah merupakan keperluan-keperluan utama bagi menjamin kelangsungan hidup duniawi dan ukhrawi dan ianya terangkum dalam objektif utama syariah atau Maqasid al-Syariah di dalam menjaga nyawa ( Hifz al-Nasl ). Keputusan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan ini juga adalah bertepatan dengan doktrin Siasah Syari’yyah atau kepimpinan Islam berlandaskan penjagaan kepentingan atau maslahah umum. Hukum penggunaan vaksin di dalam menjaga nyawa rakyat ini juga menepati pandangan para fuqahak yang menetapkan bahawa pembinaan atau penetapan sesuatu hukum perlu melengkapi tiga syarat utama iaitu; ianya merupakan suatu kepentingan yang perlu bagi masyarakat seluruhnya dan bukan kepentingan segelintir tertentu sahaja; ianya harus merupakan suatu kepentingan yang jelas dan tidak diragui oleh pihak yang berkepakaran atau yang berotoriti yang menilainya; dan yang ketiga ianya tidak bercanggah dengan tujuan asas syariat Islam atau dengan mana-mana dalil atau nas yang terdapat di dalam al-Quran, al- Sunnah atau dengan mana-mana Ijmak. Dengan samasekali tidak menafikan al-Quran itu sendiri sebagai penawar atau syifa’ serta kaedah perubatan dan rawatan yang telah dinyatakan di dalam al- Quran dan al-Sunnah, Rasulullah SAW juga menyarankan agar usaha dan penyelidikan berterusan perlu dan wajib dilakukan bagi mendapatkan penawar atau ubat bagi setiap penyakit. Dalam erti kata lain, umat Islam tidak boleh berserah begitu sahaja. Kaedah ini termasuklah menggunakan doa-doa tertentu yang diambil daripada al-Quran dan al-Hadith serta amalan as-salafussoleh . Bahan-bahan tertentu yang halal di sisi syarak juga sama sekali tidak dilarang untuk digunakan di dalam perubatan dan rawatan. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: ‘ Setiap penyakit itu ada ubatnya, maka apabila dijumpai ubat kepada sesuatu penyakit itu, nescaya disembuhkan dengan izin Allah Subhanahu wataala’ (Hadis Riwayat Muslim). Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: ‘Berubatlah kalian wahai hamba- hamba Allah, kerana Allah tidak menciptakan penyakit kecuali diciptakan bersama ubatnya, melainkan suatu penyakit sahaja iaitu penyakit tua’. (Hadis Riwayat Ibnu Majah). Kedua-dua hadis ini menjelaskan bahawa ikhtiar bagi mencari dan mendapatkan penawar bagi sesuatu penyakit itu adalah selari dengan tuntutan Islam dan membiarkan diri tededah kepada kesakitan atau sebarang penyakit atau mudarat adalah merupakan suatu kezaliman serta bercanggah dengan ajaran Islam. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud: ‘…dan janganlah kamu jatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan… ’. 13 JULAI 2021 |

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=