e-Risalah USIM - Edisi Disember 2022
DISEMBER 2022 7 | B ergiat aktif dalam pelbagai pertandingan inovasi peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, melayakkan Syed Firdaus Iqmal Syed Zahir graduan Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam dengan Kepujian dan Anis Syahira Suhaimi graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Dengan Kepujian (Keselamatan Dan Jaminan Maklumat) menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen ke-20 USIM. Syed Firdaus Iqmal bin Syed Zahir atau lebih mesra dipanggil Syed merupakan anak tunggal kepada Tuan Syed Zahir Al Qadry dan Puan Sharifah Hanizah Al Jufri. Anak jati Negeri Sembilan ini amat meminati bidang ekonomi dan kewangan Islam yang menyebabkan beliau memilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat Tamhidi Perakaunan dan Muamalat, dan seterusnya menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam dengan Kepujian di Fakulti Ekonomi dan Muamalat bermula Sesi Akademik 2018/2019. Syed Firdaus Iqmal aktif mewakili Fakulti dalam pelbagai pertandingan dan program daripada peringkat kampus hingga ke peringkat antarabangsa. Walaupun pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang pengajian, beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai satu- satunya anak yang berkhidmat kepada ibunya. Beliau pernah menjalani kelas secara dalam talian, menyiapkan assignment di dalam kereta sementara menunggu ibunya untuk mendapatkan rawatan rutin dan proses pembedahan pesakit kanser. Berkat kesabaran dan keberkatan menjaga ibunya, Syed kini mendapat pekerjaan sebagai sebagai Eksekutif di bahagian Sekuriti Siber di salah sebuah bank. Beliau juga sedang menyambung pengajian dalam peringkat Sarjana dengan tajaan penuh di Universiti INCEIF yang dikenali sebagai salah satu satu universiti terbaik dalam bidang kewangan Islam di dunia. Syed juga turut mengambil peluang menghabiskan hujung minggu dengan mengambil Certified Professional Shariah Auditor. Sementara itu, Anis Syahira Suhaimi menjadikan cabaran yang dilalui dirinya dan keluarga bukanlah halangan untuk berjaya memperoleh Anugerah Dekan tujuh semester berturut-turut sebagai graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) Kelas Pertama. Bukan berasal dari keluarga yang senang, ibunya merupakan seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu gerai demi membesarkan mereka lima beradik. Bagi menampung perbelanjaan harian, Anis pernah bekerja separuh masa sebagai pembantu gerai di sekolah, operator operasi dan tutor individu bagi subjek Matematik. Selain menerima komputer riba dan sumbangan daripada Pusat Wakaf dan Zakat USIM, cabaran berhadapan masalah capaian internet dan kesukaran menikmati suasana pembelajaran kondusif di rumah tidak menjadi halangan baginya untuk berjaya dalam pelajaran dan aktif dalam persatuan kepimpinan. Sepanjang pengajiannya, beliau telah menyertai sebanyak 14 pertandingan inovasi secara individu serta berkumpulan bagi peringkat universiti hingga antarabangsa dengan usaha komited pensyarahnya selaku penyelia projek tahun akhirnya iaitu Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay yang berjaya membimbing graduan hingga mengkomersilkan projek inovasi Cyberpoly dengan pendaftaran harta intelek dan menghasilkan dua penerbitan artikel. Pernah memenangi Pingat emas di PECIPTA 2022, IUCEL 2022 & Johan di pertandingan inovasi keusahawanan anjuran universiti di Indonesia antara pencapaian utama beliau di peringkat antarabangsa. Anis bercita-cita ingin menjadi pensyarah bidang Sains Komputer dan menjadikan pensyarahnya Dr. Sakinah sebagai inspirasi rujukan utama. Kini, Anis telah berjaya dalam penilaian pensijilan profesional Certified Penetration Tester oleh CyberSecurity Malaysia. SYED FIRDAUS IQMAL SYED ZAHIR Graduan Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam dengan Kepujian ANIS SYAHIRA SUHAIMI Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Dengan Kepujian (Keselamatan Dan Jaminan Maklumat)
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=