e-Risalah USIM - Edisi Disember 2022

DISEMBER 2022 4 | Seramai 2,955 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kali ke-20 yang diadakan pada 13 hingga 15 Disember 2022. Bertemakan “Graduan Cemerlang, USIM Disayangi” sudah pastinya melakarkan detik sejarah kepada para graduan yang telah menamatkan pengajian dengan jayanya di semua peringkat pengajian. P ada majlis ini, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud telah berangkat mencemar duli bagi mengisytiharkan majlis konvokesyen tersebut dan seterusnya berkenan untuk menganugerahkan ijazah kepada para graduan. Pada Majlis Konvokesyen kali ini turut menyaksikan pengurniaan Ijazah Kehormat, pengurniaan gelaran Profesor Emerita dan penganugerahan anugerah kecemerlangan akademik. Ijazah Kehormat (Doktor Falsafah) Alam Bina telah dianugerahkan kepada YBhg. Dato’ Ar. Haji Hajeedar Haji Abdul Majid, manakala bagi Ijazah Kehormat (Sarjana) Pengajian Quran dan Sunnah dianugerahkan kepada Tuan Haji Jalaluddin Haji Hassanuddin. Turut menerima penganugerahan adalah dua tokoh akademik USIM, iaitu Profesor Dr. Hayati Abd Rahman, Felo Akademik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan YBhg. Profesor Dato’ Dr. Roshada Hashim, Karyawan Tamu Fakulti Sains dan Teknologi bagi penganugerahan yang membawa gelaran Profesor Emerita. Menurut Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM, Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi, sejak Konvokesyen kali pertama pada tahun 2003, USIM telah melahirkan seramai 31,449 alumni. Berpaksikan moto Berilmu, Berdisiplin dan Bertakwa, USIM terus bergerak secara progresif dan proaktif sebagai sebuah universiti yang terkehadapan dalam mengaplikasikan pengintegrasian Ilmu Naqli dan Aqli dalam kurikulumnya, seterusnya melahirkan graduan yang berdaya saing dan kompetitif dalam era globalisasi. Pihak Universiti merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan tahniah kepada para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya. Kejayaan ini turut didedikasikan kepada ibu bapa, ahli keluarga, penjaga, para pentadbir dan pendidik serta seluruh warga USIM yang ikhlas memastikan para graduan menjadi insan berilmu, mengisi ruang dan pelusuk ketamadunan ummah supaya menjadi insan terbaik yang dibanggakan. Majlis Konvokesyen USIM ke-20 Rai 2,955 Graduan

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=