e-Risalah USIM - Edisi Disember 2021
Sesungguhnya, dunia ini merupakan gelanggang ujian buat kita semua. Pastinya, sebagai hamba kita akan diuji dengan pelbagai dugaan dan masalah. Untuk menjadi umat Islam yang cemerlang, kita haruslah mendidik diri dengan sifat reda ketika berhadapan dengan ujian. Reda bagi sesetengah individu mungkin senang untuk dituturkan di bibir, tapi belum tentu mudah untuk dilaksanakan dan benar-benar melekat di jiwa. Justeru, berusahalah untuk mewujudkan sifat reda dalam diri. Reda bermaksud bersedia menerima sesuatu dengan ikhlas atau dengan kerelaan hati. Manakala takdir pula adalah apa jua yang sudah terlebih dahulu ditentukan oleh Allah buat hambaNya. Ia merupakan lambang ketaatan dan kecintaan hamba kepada Penciptanya. Malahan, reda juga merupakan darjat yang tertinggi dalam kalangan orang- orang muqarrabin (golongan yang mendekatkan diri dengan Allah). Manusia yang mempunyai sifat reda adalah manusia yang sentiasa bersyukur dengan setiap nikmat serta pemberian yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Di samping itu, individu ini mendapat ketenangan serta kemudahan dalam menyelesaikan setiap urusan dalam hidupnya. Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Ma’idah, ayat 119 yang bermaksud; “Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar.” Yakinlah dengan kekuasaan Allah yang pastinya sedang menyiapkan sesuatu buat hambaNya disebalik kesusahan yang berlaku. Teruslah melangkah dan jangan berhenti mengambil hikmah serta mendidik jiwa dengan sifat redha. Hakikatnya, kita perlu sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang telah diperolehi pada hari ini. Nikmat kesihatan, nikmat makan, nikmat hidup berkeluarga, nikmat bekerja dan apa jua nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kita. Bersama- samalah kita mencari Mardhatillah (keredhaan Allah) dengan menambah amal ibadah kepadaNya. Jauhilah perkara-perkara mungkar yang boleh mengundang kemurkaan Allah dan melakukan segala suruhanNya. Kita seharusnya sentiasa bermuhasabah diri, melihat kekurangan dan kelompongan yang wujud serta memperbaikinya. Selain itu, sentiasalah berfikiran positif dengan mengungkapkan kata-kata positif yang dapat memberikan motivasi pada diri untuk berubah kearah yang lebih baik. Semoga ujian yang datang ini, dapat kita menerimanya dengan hati terbuka dan bersabar serta tabah sehingga kita mendapat sinar di penghujungnya. DISEMBER 2021 9 |
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=