e-Risalah USIM - Edisi Ogos 2021
melalui pelbagai cara sama ada di dalam atau di luar makmal untuk mengesahkan hipotesis yang dibuat. Kaedah kajian yang digunakan adalah berbentuk kaedah saintifik. Kaedah saintifik termasuk membuat pemerhatian, mengemukakan soalan yang berkaitan dengan pemerhatian, mengumpulkan maklumat yang berkaitan dengan pemerhatian, membuat hipotesis yang menerangkan andaian pemerhatian, menguji hipotesis melalui pendekatan sistematik yang dapat dibuat semula, menganalisis data yang diambil dari pengujian, seterusnya menerima atau menolak hipotesis asal yang telah dibuat. Penyelidikan saintifik adalah salah satu kaedah yang dapat menghasilkan ketepatan dan membuktikan sesuatu kebenaran. Walaupun begitu, ia masih mempunyai limitasi dan tidak boleh diuji kepada sesuatu di luar daripada logik akal kerana kuasa terbesar iaitu Tuhan tidak dapat ditandingi. Kewujudan ilmu sains pada tahap yang lebih praktikal mampu memberi manfaat kepada komuniti dan masyarakat. Kepentingan sains akan memperlihatkan peranan saintis sebagai pencari bukti dan penyelesai bagi permasalahan, seterusnya meningkatkan imej para saintis di mata masyarakat. Sesuatu penyelidikan yang dijalankan bukan dilakukan oleh seorang saintis tetapi kerap dijalankan secara berkumpulan. Walau bagaimanapun, ketua saintis atau penyelidik yang mengetuai penyelidikan yang kerap kali diangkat namanya melalui kejayaan hasil dapatan penyelidikan yang dijalankan. Ia bukanlah sesuatu yang asing kerana kerjasama di kalangan para saintis adalah lebih penting agar lebih banyak penemuan baru dan penyelesaian secara saintifik untuk sebarang masalah dapat dicapai. Namun, hubungan antara sains dan masyarakat adalah kompleks. Hasil dapatan tidak semudah diterjemahkan ke dalam bahasa umum yang boleh difahami dengan jelas. Tetapi, ia tidak bermaksud hasil penyelidikan tidak boleh disampaikan kepada masyarakat. Kerap kali sesuatu penyelidikan yang telah mencapai sebarang bentuk pengiktirafan dari segi kualiti diumumkan kepada masyarakat sebagai hasil akhir yang boleh diwar-warkan kepada umum. Selebihnya, hasil kajian disampaikan untuk pengetahuan para saintis lain di seluruh dunia untuk menambahbaik dan mengukuhkan hasil kajian yang telah diperoleh. Apa yang berlaku dalam sains mempunyai kesan kepada masyarakat. Antara bukti yang ketara dapat dilihat seperti keadaan pandemik yang sedang melanda dunia. Melalui sains, ia dapat membantu masyarakat untuk memahami dan mengatasi pandemik yang berlaku. Keadaan ini sedikit sebanyak menunjukkan kepentingan sains dan dapat menambah pengetahuan saintifik dalam masyarakat. Menjadi seorang saintis memerlukan pendidikan, kemahiran, dan pengalaman. Apabila menyentuh berkenaan pendidikan, ia merangkumi ilmu pada peringkat yang tinggi. Seorang saintis yang berpengalaman mempunyai sekurang-kurang ijazah kedoktoran falsafah. Melaluinya, mereka didedahkan dengan penyelidikan yang komprehensif dan terperinci sepanjang tempoh pengajian. Kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh seseorang saintis menggambarkan tahap kecemerlangan yang dimiliki. Semakin banyak pengalaman dalam bidang penyelidikan seseorang saintis, semakin tinggi kedudukannya dalam bidang kepakaran yang diceburi. Seorang saintis juga bukan sahaja mampu dalam menjalankan penyelidikan, malah mampu menterjamahkan hasil kajian yang diperoleh dalam bentuk penerbitan agar hasil penemuan dapat dicapai oleh saintis-saintis lain dalam dan luar negara. Seseorang saintis mempunyai kecendurungan yang sama dengan saintis yang lain dalam menjalankan sesuatu penyelidikan iaitu keinginan untuk memperbaiki kehidupan masyarakat serta rasa ingin tahu melalui penyelidikan yang intelektual bagi mendapatkan jawapan. Penemuan saintifik pada abad yang lalu telah banyak memberi jawapan serta penyelesaian kepada masyarakat. Ramai saintis terkenal telah dilahirkan melalui penemuan mereka yang mengkagumkan. Mereka terdiri daripada para saintis Islam dan bukan Islam yang telah mempelopori dunia sains kini. Antara nama-nama saintis Islam terkenal dalam sejarah seperti Ibn Sina, Muhammad ibn Musa Al-Khwarizmi, Abu Bakr Al-Razi, Jabir Ibn Hayyan dan ramai lagi. Begitu juga para saintis barat yang terkenal dalam sejarah dengan hasil penemuan mereka seperti Albert Einstein, Isaac Newton, Nikola Tesla, Galileo Galilei dan ramai lagi. Walaupun begitu, para saintis zaman moden juga telah ramai dilahirkan dan memenangi hadiah Nobel melalui hasil penemuan mereka yang membanggakan seperti David Baltimore, Shinya Yamanaka, Craig Mello, Kary Mullis dan ramai lagi. Sumbangan para saintis kepada masyarakat telah berlaku sejak berabad dahulu sehingga kini. Kefahaman tentang sains memacu perkembangan teknologi dan memberi pelbagai impak dalam pembangunan sesebuah negara. Berdasarkan kepentingan dan implikasi yang besar kepada masyarakat, peranan para saintis di Malaysia juga perlu diketengahkan dan diperluaskan. Para saintis Malaysia boleh menggunakan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang masing-masing untuk memastikan kemajuan sains serta teknologi agar dapat diuruskan dengan berkesan bagi manfaat semua manusia, seperti mana yang pernah dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Oleh: Dr. Noraziah Nordin Penulis merupakan Pensyarah Kanan dan Penyelidik di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM 13 | OGOS 2021
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=