e-Risalah USIM - Edisi April 2022
MAC 2022 9 | Sebelum memulakan ibadah puasa, umat Islam akan bangun makan bersahur sebelum terbit fajar supaya makanan yang diambil dapat memberi tenaga untuk bekerja pada siang hari seperti biasa. Bersahur diumpamakan seperti mengambil sarapan pagi pada hari biasa. Banyak pakar pemakanan menyarankan supaya mengambil makanan yang mengandungi serat tinggi, indeks glisemik rendah, serta protein tinggi semasa bersahur. Makanan dalam kategori ini mampu memberi tenaga yang efisien dan rasa kenyang sepanjang hari. Ini juga selari dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam Piramid Makanan Malaysia 2020 yang meletakkan sayuran-sayuran dan buah-buahan pada aras paling bawah dengan saiz hidangan lebih tiga sajian dan sekurang-kurangnya dua sajian, masing-masing. Antara makanan yang disyorkan semasa bersahur adalah dengan makan buah-buahan seperti pisang dan buah kurma, atau bijirin seperti oat dan barli. Namun, buah kurma adalah buah yang sering disarankan oleh Rasullullah semasa bersahur. Buah kurma mengandungi gula yang mudah diserap serta tinggi kandungan vitamin dan mineral yang cukup untuk membekalkan tenaga sepanjang berpuasa pada siang hari. Amalan sunat yang menjadi amalan Rasullullah semasa berpuasa adalah melewatkan sahur sejurus sebelum azan Subuh berkumandang. Selepas menahan lapar seharian, umat Islam disunatkan untuk menyegerakan berbuka puasa. Semasa berbuka puasa, umat Islam disunatkan juga untuk memulakan berbuka puasa dengan kurma sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah. Makanan yang dihidangkan untuk juadah berbuka puasa juga hendaklah halal dan bersih. Berbuka puasa umpama seperti mengambil makan malam dan tidak digalakkan mengambil makanan yang terlalu banyak sehingga perut penuh. Ini kerana akan menyukarkan proses penghadaman makanan seterusnya sukar untuk mengerjakan solat Terawih dan ibadah sunat yang lain. Sebenarnya, semasa bulan Ramadan, kajian menunjukkan bahawa corak dan tabiat pemakanan umat Islam berubah. Kalori yang diambil juga menurun berbanding bulan biasa. Bancian yang telah dilakukan oleh Philips Home Living pada 2014, juga telah menunjukkan bahawa 61% umat Islam di Malaysia menyedari bahawa secara keseluruhannya mereka makan dengan lebih sihat. Pemakanan yang sihat bukan sahaja penting untuk diri sendiri, malah untuk ahli keluarga mereka. Hampir separuh umat Islam ingin mengekalkan diet yang sihat sepanjang tahun dan bukannya setakat di bulan Ramadan. Corak pengambilan makanan yang baik semasa berpuasa pada bulan Ramadan mestilah diteruskan pada bulan-bulan lain. Ini selari dengan amalan pemakanan seharian Rasulullah. Dalam aspek pemakanan Rasulullah, baginda sangat menitikberatkan tiga perkara. Baginda hanya makan apabila lapar dan berhenti apabila kenyang, makan secara sederhana dan tidak berlebihan, serta memenuhkan hanya sepertiga sahaja perutnya dengan makanan, sepertiga untuk minuman, serta sepertiga lagi untuk udara supaya mudah bernafas. Konsep ini juga sebenarnya sudah diterapkan semasa umat Islam menjalani ibadah puasa dan perlu diteruskan sepanjang musim. Justeru, bulan Ramadan merupakan waktu yang terbaik memulakan perubahan tabiat pemakanan. Namun, segalanya bermula dari diri sendiri. Sebagai umat Islam kesihatan yang unggul adalah penting untuk menjalankan ibadah seharian dengan sempurna bagi meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kepada Allah. Buah kurma sering disarankan oleh Rasullullah semasa bersahur.
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=