e-Risalah USIM - Edisi April 2022
MAC 2022 11 | Bahasa Inggeris kini ialah bahasa keempat (atau kemungkinan bahasa ketiga bergantung kepada sumber) yang paling banyak dituturi di seluruh dunia dengan lebih 380 juta penutur di seluruh dunia. Ia mempunyai status ”lingua franca” atau ”bahasa pengantara” di kebanyakan negara dalam dunia. Bahasa Inggeris juga sekarang adalah paling banyak digunakan dan merupakan bahasa kedua yang paling banyak dipelajari di serata dunia. Kebanyakan pelajar di seluruh dunia adalah digalakkan untuk mempelajari bahasa Inggeris. Penguasaan terhadap bahasa Inggeris juga dilihat menjadi pilihan utama untuk diambil bekerja oleh ramai majikan serta di tempat kerja. Dewasa ini, masalah kelemahan menguasai bahasa Inggeris dilihat merisaukan dalam kalangan pelajar- pelajar tidak kira di peringkat sekolah rendah, menengah atau di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). Antara punca utama yang dikenalpasti kenapa pelajar-pelajar didapati masih lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris adalah berpunca dari sikap dan pemikiran pelajar itu sendiri yang jarang mempraktikkan penggunaan bahasa Inggeris yang telah mereka pelajari dalam kehidupan seharian. Kebanyakan para pelajar juga didapati kurang membaca bahan- bahan ilmiah yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan daripada mereka dilihat lebih selesa membaca bahan-bahan yang menggunakan bahasa ibunda yang sudah biasa digunakan setiap hari semenjak mereka lahir. Antara punca lain yang boleh dikenalpasti kenapa pelajar-pelajar masih lemah menguasai bahasa Inggeris adalah kerana ada dalam kalangan pelajar yang memandang bahasa Inggeris hanya sebagai satu subjek yang mesti diambil sebagai memenuhi syarat untuk tamat proses pengajian ataupun sekadar untuk lulus peperiksaan. Ada juga menganggap bahasa Inggeris sebagai satu mata pelajaran yang membosankan serta membebankan. Oleh yang demikian, adalah mustahil bagi mereka untuk meminati, menjiwai sekaligus menguasai bahasa antarabangsa terbabit. Pelajar-pelajar juga tidak mahu melatih diri mereka untuk bertutur dalam bahasa Inggeris ketika berinteraksi bersama rakan-rakan mereka. Ada juga pelajar yang tidak mahu mencuba untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana berasa malu dan takut sekiranya mereka melakukan kesalahan ketika berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan seterusnya menjadi mangsa ejekan daripada orang sekeliling atas kesalahan yang dilakukan. Masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar juga ditambah lagi dengan kurangnya sokongan daripada orang dewasa sekeliling yang tidak memahami kepentingan penguasaan bahasa antarabangsa berkenaan. Oleh yang demikian, adalah penting supaya semua pihak mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik serta mengunakan bahasa Inggeris terbabit tanpa berasa malu dan takut. Semua pelajar yang berada di semua peringkat harus diberi lebih banyak latihan dan kursus kemahiran untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Pelajar juga perlu diberi dorongan serta semangat supaya mereka tidak berasa malu dan takut untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi seharian mereka. Pelajar yang tidak fasih bertutur bahasa Inggeris tidak harus dipandang rendah serta dipersendakan. Pelajar yang didapati masih lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris perlu dibantu supaya mereka dapat menguasai dan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik dan penuh berkeyakinan. Tidak boleh dinafikan bahawa bahasa Inggeris mempunyai kepentingan yang besar dalam hidup kita terutamanya kepada pelajar-pelajar. Sama ada kita suka ataupun tidak, bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa pada masa kini. Ia juga perlu dilihat sebagai bahasa komunikasi yang utama selain daripada bahasa tempatan. Penguasaan dalam bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa lain yang sudah mula mendapat tempat di peringkat antarabangsa seperti bahasa Arab dan Mandarin juga adalah amat penting untuk menjadikan generasi muda lebih berkemahiran dan berdaya saing sama ada di dalam negara ataupun di peringkat antarabangsa. Para pelajar kita perlu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan penguasaan bahasa antarabangsa terbabit untuk masa depan diri mereka sendiri. Semua pihak dalam negara kita juga harus mempunyai kesedaran yang sama terhadap kepentingan penguasaan bahasa Inggeris ini. Penguasaan bahasa Inggeris bukan bermakna kita mendaulatkan bahasa yang sering dianggap sebagai ”bahasa penjajah” serta meminggirkan bahasa ibunda tempatan tetapi ianya perlu dilihat sebagai salah satu usaha atau langkah bagi membantu generasi muda dalam negara kita untuk mengharungi masa depan yang lebih mencabar dan penuh dengan pancaroba.
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=