e-Risalah April - Jun 2024
REMBAU Mahasiswa USIM ceriakan Warga Emas di S eramai 40 mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi, USIM telah menjayakan program Jaulah Sukarelawan Semarak Siswa Madani 2024: Jejak Kasih Rembau, Siri 1.0: Komuniti Emas pada 18 Mei 2024. Program anjuran Sekretariat Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (SekreFaST) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah menyantuni seramai 29 orang penghuni warga emas di Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Rembau, Negeri Sembilan. Penasihat program Prof Madya Dr. Saknah Ali Pitchay menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bagi sumbangan dana menjayakan aktiviti libatsama masyarakat. “Peruntukan tersebut bertujuan untuk membuka peluang kepada warga universiti melahirkan graduan yang cakna terhadap komuniti sekeliling serta berharap menjadi salah satu inisiatif melahirkan graduan yang holistik dan mempunyai sikap empati yang tinggi. Para pelajar dapat memahami realiti kehidupan dunia luar selain meningkatkan rasa kesyukuran dengan segala yang diperolehi.” Perkhidmatan terapi diterapkan secara menyeluruh dalam jaulah kali ini. Pelajar dapat memasak bersama-sama dengan penghuni menghasilkan kuih tradisional orang banjar, wadai kepeng. Tambahan pula, warga emas di sana dapat meluahkan perasaan mereka, berkongsi pengalaman kehidupan dan memberi nasihat kepada pelajar. Aktiviti gotong-royong turut dijalankan bagi membersih kawasan perumahan pusat jagaan termasuk ruang solat. Mereka bersyukur dengan kerjasama daripada pelajar dapat sedikit sebanyak meringankan beban harian mereka. Pengarah program Qistina Auni Binti Ahmad Rizal berkata, mahasiswa FST khususnya amat menyokong program sebegini dilaksanakan dengan lebih kerap bagi memupuk dan menyuntik semangat sukarelawan dalam kalangan para pelajar serta mendekatkan diri dengan komuniti luar selain melahirkan sikap keprihatinan terhadap semua lapisan masyarakat tanpa berbilang kaum terutamanya warga emas. “Penghuni di sini terdiri daripada pelbagai bangsa utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Ada yang ditinggalkan terus tanpa dihubungi oleh anak-anak. Ini merupakan satu tamparan peringatan kepada semua sukarelawan yang hadir supaya sentiasa berbakti kepada ibu bapa sehingga akhir hayat”. Tambahnya lagi, “Aktiviti sukaneka yang menjadi perintis kepada perkhidmatan bakti disambut dengan penuh gelak tawa kegembiraan oleh penghuni. Mereka ceria dapat bermain bersama-sama dengan para pelajar.” Sebahagian pelajar telah bertungkus lumus membantu mengecat menceriakan kawasan dinding perumahan menjadikan kawasan lebih ceria selari dengan keinginan dan hasrat pusat jagaan tersebut. Majlis diakhiri dengan pemberian kotak rezeki kepada Encik Ramesh Patel, selaku Pengerusi Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Rembau untuk digunakan oleh warga penghuni di sana. Beliau menegaskan bahawa pemberian ini sedikit sebanyak mengurangkan kos perbelanjaan untuk warga emas di sana serta kehadiran pelajar dapat menceriakan kehidupan dan membawa sinar yang baharu. Program Jaulah Sukarelawan Jejak Kasih Rembau bertemakan warga emas ini dapat memberikan pengalaman pembelajaran sepanjang hayat secara bersemuka serta sentuhan jiwa yang penuh kepada sanubari setiap individu. Diharapkan agar nilai dan pengajaran dapat diambil dan dipraktikkan dalam kehidupan masing-masing untuk sentiasa bersyukur dan menghulurkan bantuan tidak mengenal apa jua bangsa dan umur. BeritaKampus 8
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=