e-Risalah April - Jun 2024
P elajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) USIM dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Karangan dan Syarahan Bahasa Jepun Institusi Pengajian Tinggi Malaysia yang julung kali diadakan pada 18 Mei 2024. Nabilah Athirah Nurularifin, 22 tahun, membawa pulang hadiah berupa Xiaomi Pad 6. Naib Johan dirangkul oleh Muhammad Syahrizal Theng Abdullah dari UPSI dengan membawa pulang hadiah Kindle Paperwhite Signature Edition, dan Tempat Ketiga dirangkul oleh Jeremy Chin Chun Keat dari UNIMAS, dengan hadiah berupa Sony Wireless Noise Cancelling Headphone. Manakala enam peserta turut membawa pulang hadiah sagu hati berupa Sony Wireless Earphone. Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Tuan Shigehiro Komaru, Pengerusi Yayasan Komaru Transportation dan Professor Toshiyuki Sato, Presiden Fukuyama City University. Dengan membawa tema ‘pengangkutan’, pertandingan ini menyaksikan seramai 9 orang peserta dari 6 buah universiti awam telah berentap pada kali ini. Mereka adalah dari USIM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Pertandingan ini merupakan pelaksanaan bersama Pusat Bahasa dan Kebudayaan Jepun USIM, Persatuan Pengajar Bahasa Jepun Malaysia, Fukuyama Transportation Sdn Bhd, Malaysia E.H Utara Holding, dan ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Komaru Kotsuu. Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM berkata, kerjasama dua hala yang berpanjangan antara Malaysia dan Jepun merupakan bukti kekuatan hubungan diplomatik antara USIM dan wakil agensi Pendidikan dari Jepun. Komitmen Malaysia terhadap “Dasar Pandang ke Timur” telah membuahkan hasil yang memberangsangkan, menggalakkan pertukaran pengetahuan dan pembangunan kepakaran melalui pertukaran pelajar dan kerjasama industri. “Bahasa Jepun merupakan salah satu bahasa antarabangsa yang ditawarkan sebagai kursus elektif di kebanyakan institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia. Walaubagaimanapun, penggunaan bahasa Jepun di kalangan pelajar IPT terhad di dalam kelas sahaja. Pertandingan syarahan bahasa Jepun merupakan sebuah platform yang baik untuk mendedahkan para pelajar dengan penggunaan bahasa Jepun di luar kelas selain memberi peluang kepada pelajar untuk berkongsi pendapat dan idea mereka dalam bahasa Jepun”, beliau berkata lagi. Turut diadakan penyerahan papan tanda ‘Sudut Membaca Komaru’ oleh Tuan Shigehiro Komaru, Pengerusi Yayasan Komaru Transportation kepada Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM sebagai simbolik tajaan buku-buku rujukan dan bahan bacaan dalam bahasa Jepun kepada USIM bagi menggalakkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Jepun. Para juri terdiri daripada wakil dari Kedutaan Jepun, Japan Foundation Kuala Lumpur, Fukuyama City University, Fukuyama Transporting Sdn Bhd dan Persatuan Alumni Dasar Pandang ke Timur. Turut hadir Tuan Yukiyoshi Saito, Setiausaha Pertama Kedutaan Jepun di Malaysia, Tuan Isrami Ismail, Presiden Persatuan Alumni Dasar Pandang ke Timur, Tuan Norihisa Tsukamoto, Pengarah The Japan Foundation Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Zainur Rijal Abdul Razak, Dekan FPBU serta Profesor Madya Dr Zoraida Mustafa, Dekan Pusat Pengajian Teras. USIM Johan Pertandingan Karangan dan Syarahan Bahasa Jepun Per ingkat Inst i tus i Pendidi kan Tinggi Malays ia BeritaKampus 28
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=