e-Risalah April - Jun 2024
Memperkukuhkan Libatsama Masyarakat Cyber Hasanat di SMKA SHAMS S eramai 53 mahasiswa Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), Fakulti Sains dan Teknologi USIM, telah berjaya melaksanakan program libat sama masyarakat bertajuk “Cyber Hasanat: Lindungi Identiti, Bersama Memacu Transformasi Digital” di bawah inisiatif Service Learning Malaysia-University Society (SULAM) pada 22 Mei 2024. Program ini bertemakan Kesedaran Keselamatan Siber telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said (SMKA SHAMS) dengan kehadiran seramai 122 peserta. Program ini tidak hanya sekadar melibatkan jaringan komuniti dan aktiviti pemindahan ilmu, malah ia melambangkan tonggak kecemerlangan dalam meneraju agenda kesedaran keselamatan siber di kalangan masyarakat Malaysia. Program ini merupakan sebahagian daripada kursus Masyarakat Digital Inklusif di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay. Pelajar asrama tingkatan 1 dan 2 dipilih sebagai sasaran utama bagi mengukuhkan kesedaran mereka terhadap kepentingan menjaga identiti digital dari ancaman penjenayah siber. Dengan tajuk “Identiti Digital Anda: Harta Karun Penjenayah Siber”, peserta diajak untuk menyedari nilai penting identiti dalam ruang siber yang semakin terdedah kepada serangan. Program ini turut mendapat sokongan padu bagi Geran Sumbangan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (GSS) sebagai penaja utama. Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay berkata, sepanjang program, para pelajar didedahkan dengan tiga aktiviti utama iaitu ceramah Cyber Hasanat, explorace dan papan permainan interaktif Secure Cybercitizenship (SET) yang berfokuskan keselamatan siber. Dalam sesi papan permainan SET, diterapkan tiga elemen penting iaitu kuiz beginner (L1) dan intermediate (L2) yang merangkumi soalan peringkat pemula mengenai keselamatan siber, Ta’alim INAQ yang merangkumi soalan berkaitan perspektif Islam dalam keselamatan siber sesuai dengan maqasid syariah, dan Ta’lim yang menguji pengetahuan umum tentang keselamatan siber. Ta’alim merupakan perkataan Arab yang bermaksud ilmu. “Dalam era digital yang serba canggih ini, identiti digital menjadi aset berharga yang sering menjadi sasaran penjenayah siber. Melalui kesedaran awal ini, pelajar dapat memahami risiko dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk melindungi diri mereka daripada ancaman ini”. Ujarnya lagi, dengan pendedahan yang diberikan, masyarakat akan lebih berhati-hati dalam mengendalikan maklumat peribadi mereka di alam maya, sekali gus mengurangkan risiko kecurian identiti dan jenayah siber. “Selain itu, program ini juga memperkukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti. Melalui aktiviti kesukarelawanan ini, mahasiswa dapat menyumbang kepada masyarakat dengan berkongsi ilmu dan kemahiran mereka. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar sekolah yang terlibat tetapi juga meningkatkan kemahiran interpersonal dan kesedaran sosial dalam kalangan mahasiswa”. Dr. Sakinah menambah, “Cyber Hasanat: Lindungi Identiti, Bersama Memacu Transformasi Digital” adalah manifesto kecemerlangan dan penghayatan terhadap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan generasi muda yang bakal mencorakkan masa depan negara. Usaha kolaboratif ini juga bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama komuniti dan semangat kesukarelawanan, dengan harapan memberikan impak positif yang berterusan kepada masyarakat. Pemindahan ilmu yang bersifat didikhibur merupakan langkah proaktif dalam mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi cabaran dunia digital yang semakin kompleks dan mencabar. Program Cyber Hasanat ini diakhiri dengan sesi menandatangani sijil jalinan dan jaringan kerjasama komuniti di antara USIM dan pengetua SMKA SHAMS. GeranSumbanganUNESCO BeritaKampus 24
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=