e-Risalah Jul-Sept 2024

S eramai 38 orang Mahasiswa Tahun 3, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM telah menganjurkan Program Lawatan Khidmat Ummah Quran dan Sunnah serta Program Smart Solat di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur pada 12 Jun 2024. Program anjuran Mahasiswa FPQS USIM dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), ini telah disertai oleh 30 orang pelajar Kelas Kurang Upaya Pelbagai di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur. Penasihat Program, Profesor Madya Dr Noornajihan Ja’afar berkata, penganjuran program ini merupakan satu keperluan bagi mahasiswa yang mengikuti kursus QNR3013, Application of Braille In Quranic and Sunnah Studies, dalam membantu mewujudkan kesedaran tentang isu agama dalam kalangan orang berkeperluan khas serta meningkatkan kualiti pelajar dalam aspek insaniah dan nilai murni terutamanya dalam pengajaran Al- Quran dan Sunnah. “Saya berharap agar mahasiswa juga akan lebih memahami dunia OKU Penglihatan serta menjadikan program ini sebagai satu pengalaman yang berharga dalam usaha untuk menyantuni komuniti OKU” ujarnya lagi. Aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program berlangsung adalah Forum Kesihatan Seksual dalam kalangan Remaja dan kesedaran tentang penyakit HIV/AIDS/STI & HEPATITIS C serta Amali Solat. Forum telah disampaikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai. B ersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang ke- 61 tahun, UMMI USIM melalui Sekretariat Sahabat FAQEH USIM (SaF@USIM) dengan kerjasama Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (FAQEH) telah menganjurkan Program Bacaan Yasin dan Gema Selawat Bersama OKU yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Google Meet serta saluran YouTube Sahabat FAQEH USIM pada 16 September 2024. Program ini telah dihadiri oleh 300 orang peserta yang terdiri daripada kalangan warga USIM, komuniti OKU dan orang awam serta penyertaan daripada Negara Brunei Darussalam dan Singapura. Program ini bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dan menzahirkan masyarakat inklusif bersama komuniti OKU dalam suasana sambutan Hari Malaysia dan Maulidur Rasul SAW serta merapatkan hubungan komuniti OKU dengan masyarakat dan juga sebagai satu langkah memperlihatkan advokasi dan kecaknaan terhadap komuniti OKU dalam membina suasana yang inklusif dan harmoni selaras dengan gagasan Malaysia Madani. Bacaan Surah Yasin telah dipimpin oleh Saudara Muhammad Izaan Sabaruddin, mahasiswa OKU USIM. Beliau merupakan pelajar OKU penglihatan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM. Manakala alunan Gema Selawat dipimpin oleh saudara Umar Hasfizal yang merupakan remaja autistik dan diikuti dengan persembahan istimewa dari SaF al-Isharah iaitu, kumpulan nasyid tanpa suara dalam kalangan mahasiswa USIM. Program ini turut dihadiri oleh Profesor Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Dr. Syar Meeze Mohd Rashid, Pengerusi, Yayasan FAQEH. Di akhir program, bacaan doa selamat telah dipimpin oleh Saudara Ahmad Fadhil Zakaria iaitu seorang pelajar OKU daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Beliau merupakan pelajar OKU Fizikal yang sedang menuntut dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda al- Quran dan al- Sunnah (Qiraat) di UniSZA. Program seumpama ini dilihat mampu menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menghargai komuniti OKU dan sebagai sistem sokongan pengupayaan masyarakat dalam rangka usaha merealisasi mesej Surah ’Abasa iaitu, memuliakan OKU dengan agama. Selain itu, program ini berupaya memperkukuhkan semangat perpaduan nasional yang selaras dengan sambutan Hari Malaysia. USIM anjur Program Lawatan Khidmat Ummah Santuni Pelajar OKU Penglihatan USIM anjur bacaan Yasin dan Selawat Bersama Komuniti OKU Memupuk Perpaduan dan Kebersamaan BeritaKampus 28

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=