e-Risalah Jan-Mac 2024
Forum Pemerkasaan Wanita Buka Minda Peranan Wanita dalam Kerjasama Antarabangsa S elaras dengan usaha menyokong agenda pemerkasaan wanita di peringkat kebangsaan, USIM melalui Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita USIM telah menganjurkan sebuah forum bertajuk ‘Peranan Wanita dalam Kerjasama Antarabangsa’ bertempat di Auditorium, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) USIM. Forum yang membawa tema kewanitaan ini dibarisi oleh panelis yang tidak asing lagi di Malaysia, iaitu Profesor Dato’ Seri Dr. Zaleha Kamaruddin, Ahli Majlis Penasihat Wanita, Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) yang juga merupakan Mantan Rektor Wanita Pertama Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Puan Hajah Rohani Datuk Haji Mohd. Shahir, Pengerusi, Khadijah International Waqf (L) Foundation dan Profesor Dr. Rafidah Hanim Mokhtar, Profesor di FPSK USIM yang juga merupakan Pengerusi the International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ). Pelbagai topik serta perkongsian ilmu berkaitan peranan wanita dikupas dalam forum yang berlangsung hampir dua jam itu merangkumi tanggungjawab dan peranan wanita sebagai individu sama ada di dalam kehidupan peribadi, kerjaya profesional mahupun rumahtangga. Menurut Nor Azzah Momin, Ketua Pustakawan, merangkap Ketua Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita USIM berkata, “Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita USIM telah diwujudkan dengan hasrat untuk menjadi sebuah platform yang merangka dasar, membentuk perancangan dan menjalankan aktiviti serta kolaborasi yang berkaitan dengan usaha pembangunan diri, kemahiran serta visibiliti wanita di USIM serta wanita lain dalam masyarakat.” “Pelaksanaan forum ini adalah untuk memberikan gambaran dan panduan yang luas berkenaan peranan yang perlu dan boleh dimainkan oleh wanita di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selain mendapatkan pengalaman dari beberapa perspektif berbeza daripada ahli panel dengan pelbagai latar belakang”. Jelas beliau lagi, tema yang dipilih ini selari dengan keperluan kaum wanita yang diperuntukkan dengan satu surah yang dikhususkan kepada mereka iaitu Surah An-Nisa’ yang di dalamnya terkandung perbahasan yang mendalam berkaitan isu-isu wanita. Di antara isu dan permasalahan yang disentuh adalah hukum-hukum pernikahan, perwarisan, hak dan kewajipan dalam keluarga, serta perlindungan terhadap hak-hak Wanita. Farrah Nadia Yussof, 37, salah seorang peserta forum yang hadir berkata, pengisian forum yang dikongsikan oleh para panel amat bagus dan bermanfaat, lebih-lebih lagi bagi wanita yang bekerjaya. “Diharapkan program seperti ini dapat diluaskan kepada agensi-agensi Kerajaan agar semua staf wanita mendapat ilmu yang bermanfaat dan membuka minda para wanita untuk terus menyumbang kepada negara sama ada di peringkat domestik mahu pun antarabangsa”. Ujar beliau. Turut hadir ke forum, Datin Seri Hajah Wan Hasni Wan Yusof, Isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, merangkap Yang Dipertua Persatuan Badan Isteri Wakil- Wakil Rakyat & Pegawai Kanan Negeri Sembilan (BAKRIYAH NS), Profesor Madya Datin Dr. Aza Sherin Mohd. Yusoff, isteri kepada Naib Canselor USIM yang juga Pengerusi, Kelab Kakitangan Wanita dan Isteri Kakitangan USIM (Kelab Wardah), Pn. Yuhani Jamiran, Penasihat Undang-undang USIM merangkap Timbalan Ketua Taskforce Pemerkasaan Wanita USIM, Ahli BAKRIYAH NS, wakil dari Jabatan Pembangunan Wanita, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Persatuan Wanita Universiti dan Puspanita Kementerian, Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), pegawai-pegawai kerajaan, serta Masyarakat sekitar. Pemerkasaan wanita terus menjadi agenda nasional yang penting terutamanya dalam menjamin pembangunan dan pengupayaan wanita dengan mengarusperdanakan kepentingan wanita untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya dalam perancangan dan pembangunan negara. BeritaKampus 8
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=