e-Risalah Jan-Mac 2024

S eramai 40 orang pelajar dan kakitangan USIM dari pelbagai latar belakang menghadiri program Scam Alert: Risk and Right yang dijalankan oleh Out Campus Secretariat Student (OCSS) dengan kerjasama Perumahan Pelajar (PRUPEL) dan Kelab Penyayang USIM yang berlangsung di Dewan Kolej Permata Insan pada 10 Januari 2024. Program ini bagi memberi pendedahan tentang isu penipuan dalam talian. Dr Haji Sulaiman Ismail, Pengetua Luar Kampus dan Pengurusan Pelajar Luar Kampus berkata, tujuan program ini diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran warga USIM terutama pelajar tentang aktiviti penipuan yang melibatkan kewangan. “Program ini sangat penting bagi menyedarkan para pelajar dan kakitangan USIM tentang isu penipuan dalam talian,’’ katanya. Program ini menampilkan ASP Rahmat Fitri Abdullah, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul yang pernah terlibat secara langsung dengan penyiasatan jenayah komersial dan telah banyak menyelesaikan kes-kes jenayah berat mahupun ringan sepanjang kerjaya beliau sebagai anggota polis. Menurut ASP Rahmat Fitri, penipuan dalam talian ini semakin berleluasa seiring dengan kemajuan teknologi zaman sekarang. “Pelbagai jenis penipuan dalam talian bukan sahaja membabitkan keewangan, ada juga yang menyamar, penipuan dalam pelaburan, jual beli tipu tawaran pekerjaan dan banyak lagi,’’ ujarnya. Tambahnya, penipuan yang sering berlaku ialah pekerjaan dalam talian yang menjanjikan pulangan wang yang besar selepas melaburkan sejumlah wang. Kes ini sering berlaku terhadap pelajar yang tidak berfikiran panjang dan menginginkan wang yang besar dalam masa yang singkat tanpa memikirkan sumber dan kesahihan pelaburan tersebut. Menerusi sesi soal jawab dalam program ini, salah satu pelajar bertanya tentang cara bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dalam talian kerana sekarang sukar untuk mengenal pasti tentang penipuan. ASP Rahmat Fitri turut menyarankan agar individu perlu menyemak dan bertanya kepada pihak yang sepatutnya sebelum melakukan apa-apa tindakan selanjutnya, dan jika ia berkaitan tentang cabutan bertuah semak dahulu sama ada anda mengisi atau tidak pertandingan tersebut. “Menerima panggilan palsu itu adalah perkara yang sukar dielak, namun jadilah pengguna yang bijak dalam menangani panggilan itu,’’ katanya. Sementara itu, salah seorang peserta program, Nurul Afini, 23, berkata bahawa program ini sangat memberi impak yang positif dimana peserta didedahkan dengan isu penipuan dalam talian sekaligus didedahkan dengan langkah bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian. Pengerusi OCSS, Mus’ad Umar berharap melalui program ini dapat membantu pelajar dan kakitangan USIM sekiranya terlibat dengan penipuan dalam talian dan mengingatkan agar pelajar dan kakitangan berkongsi maklumat tentang isu ini dengan rakan yang lain. kongsi risiko isu penipuan dalam talian Program SCAM ALERT: RISK AND RIGHT BeritaKampus 6

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=