Offstone JUNE 2023 EDITION
39 secara tidak langsung menyumbang kepada kejatuhan penjualan serta sirkulasi akhbar bahasa Melayu. Antara faktor utama lain kejatuhan jualan akhbar terbabit ialah perkembangan media dalam talian lebih-lebih lagi dengan ledakan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Penggunaan gajet khususnya telefon pintar mendekatkan lagi masyarakat dengan laporan berita tanpa sempadan sekali gus tidak perlu bergantung kepada akhbar bercetak yang beritanya hanya boleh dibaca pada keesokan harinya. Ia lebih pantas dan mudah dicapai di hujung jari sahaja. Mungkin ada yang berkata, tidak perlu bimbang dengan saiz jualan kerana masih ramai yang membaca secara dalam talian, namun mereka mungkin tidak mengetahui bahawa sumber pendapatan terbesar syarikat akhbar ialah penjualan iklan di media cetak. Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila kajian oleh Institut Reuters yang berpangkalan di UK mendapati bahawa akses menggunakan telefon pintar di negara ini turun 7 mata peratusan kepada 78 peratus sepanjang tahun 2022. Penurunan dalam penggunaan telefon pintar mungkin disebabkan oleh pengguna sudah mula jenuh atau perubahan gaya hidup yang lebih mengurangkan penggunaan telefon pintar mereka. Namun, pada pandangan pengkaji, walaupun penggunaan telefon pintar telah menurun, ia masih kekal sebagai sumber utama akses kepada berita bagi majoriti orang di Malaysia. Hakikatnya kemerosotan mendadak edaran akhbar bahasa Melayu banyak terkait dengan gelombang kejatuhan media cetak di seluruh dunia. Ada kajian dalam negara yang dijalankan pada 2018 mendapati, akhbar versi cetak mengalami kemerosotan sirkulasi di seluruh dunia seperti yang turut dinyatakan dalam sebuah kajian lain di luar negara yang dijalankan pada 2016, serta kajian oleh Pew Research Centre pada 2016. Dalam masa yang sama, kita juga maklum akan kepesatan kewartawanan digital yang bagai menyergah institusi berita yang gah sebagai sumber maklumat masyarakat selama ini. Hari ini, jelas dapat dilihat pola kepesatan teknologi maklumat yang sangat mempengaruhi kewartawanan di serata dunia dan tidak terkecuali Malaysia. Kesan Kejatuhan Akhbar Bahasa Melayu Terhadap Dakwah Islamiah Islam dan akhbar bahasa Melayu tidak akan pernah dapat dipisahkan. Kesedaran agama di negara ini berkait rapat dengan peranan akhbar bahasa Melayu moden khususnya Utusan Malaysia dan Berita Harian. Isu-isu agama sering menjadi tajuk utama akhbar-akhbar terbabit malahan dasar kerajaan melibatkan kepentingan Islam kebanyakannya dicetuskan di dada- dada akhbar. Justeru, kejatuhan akhbar bahasa Melayu mempunyai kesan yang amat signifikan terhadap dakwah Islam.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=