Offstone JUNE 2023 EDITION
35 Islam di seluruh negara sebagai bantahan kepada penggunaan kalimah tersebut dalam Bible terjemahan berbahasa Melayu (Roslizawati Mohd Ramly et al., 2020). Justeru, penerokaan terhadap faktor-faktor penyebab penghinaan agama Islam di media sosial dilihat amat penting dalam rangka usaha untuk membina pendekatan pencegahan penghinaan agama yang lebih komprehensif dan praktikal. Konsep Penghinaan Agama Menurut Kamus Bahasa Melayu, perkataan penghinaan adalah merupakan kata terbitan yang merujuk kepada perbuatan atau hal menghina. Manakala perkataan hina bersinonim dengan perkataan keji, tercemar, tercela, kotor dan buruk. Dalam erti kata yang lain, perbuatan menghina adalah merupakan suatu perbuatan yang jelik dan negatif. Sifat menghina ini juga sebenarnya bukanlah sesuatu yang baik kerana secara fitrahnya umat manusia dijadikan dalam keadaan menyukai kebaikan dan keindahan, bukannya menyukai perkara-perkara yang jelik dan negatif. Dalam bahasa Arab penghinaan agama atau al-istihzā’ bi al-dīn merujuk kepada perbuatan mengejek dan mencemuh agama. Menurut Ibn Manzūr lafaz istihzā’ (kata asal huzū’ ) bermaksud sukhriyyah iaitu ejekan atau cemuhan. Dalam al-Quran dapat ditemui penggunaan perkataan istihzā’ dan sukhriyyah untuk menjelaskan peristiwa penghinaan yang dilakukan oleh umat terdahulu kepada para Rasul. Jika dirujuk kepada undang-undang Syariah di Malaysia, terdapat enakmen khusus berkaitan kesalahan menghina agama Islam. Peruntukan undang-undang Syariah tersebut adalah tidak bertentangan dengan maksud perbuatan menghina agama Islam seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan Hadis. Menurut sebuah kajian di Indonesia, terdapat beberapa faktor penyebab telah dikenal pasti sebagai punca berlaku penghinaan agama di negara tersebut. Faktor-faktor tersebut adalah: pertama, bermotifkan politik, di mana agama sering digunakan bagi tujuan mencapai kuasa politik. Kedua, kewujudan ajaran sesat yang dilihat berpunca daripada pemimpin agama yang tidak berperanan dengan sebaiknya dalam masyarakat dan kejahilan penganut agama sendiri. Ketiga, sistem undang-undang yang tidak berkesan kerana terdapat kelemahan dari sudut penguatkuasaan dan hukuman yang tidak setimpal. Keempat, terdapatnya kepelbagaian agama yang menyebabkan wujudnya perasaan sebagai yang paling benar dan golongan yang mempertahankan sektarian yang sesat atas dasar hak kebebasan beragama. Faktor boleh berlakunya penghinaan agama juga didapati berkait rapat dengan kemajuan teknologi komunikasi seperti media sosial itu sendiri yang secara tidak langsung mempromosikan ideologi liberalisme iaitu hak kebebasan individu termasuk hak kebebasan
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=