Offstone JUNE 2023 EDITION

21 mengekalkan keseimbangan antara pembangunan duniawi dan pencapaian rohani. Oleh itu, merumus serta memperkasa dasar dan objektif yang betul dalam pengurusan media adalah penting kerana media baharu dan teknologi digital telah mewujudkan budaya penyertaan dalam kalangan umat Islam di mana mereka menjana pelbagai kandungan yang disesuaikan dengan sifat media itu sendiri. Analisis Naratif Filem Nur Kasih the Movie (2011) Perbincangan mengenai sejauh mana Islam membenarkan hiburan dalam kehidupan seharian umatnya sering diperbincangkan terutamanya dalam kalangan cendekiawan Islam. Sebagai agama yang syumul, Islam dan ajarannya meliputi semua aspek kehidupan termasuklah bagaimana untuk berhibur tanpa terlalu berlebihan. Cendekiawan tersohor, Dr. Yusuf al-Qaradawi turut menyatakan bahawa Islam tidak memerlukan umatnya hanya melontarkan ucapan yang alim, tidak perlu mendengar apa-apa kecuali bacaan al-Quran, serta tidak perlu menghabiskan semua masa lapang di masjid. Sebaliknya, Islam menyedari bahawa Allah telah menciptakan manusia dengan keperluan dan keinginan serta memerlukan rehat dan menikmati keseronokan dalam kehidupan. Di Malaysia, industri perfileman tempatan telah berusaha untuk menggambarkan dan mempromosikan unsur-unsur Islam yang baik dan tepat kerana Islam adalah agama persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Misalnya, pemaparan plot dan perwatakan dalam filem popular tempatan, Nur Kasih the Movie (2011, arahan Kabir Bhatia) telah mengangkat watak wanita, Nur Aminah yang telah melalui banyak kesakitan dalam kehidupannya namun dapat bertahan dengan mengekalkan keimanannya kepada Allah. Dari sudut analisis naratif, filem ini mengangkat tema pengalaman yang dihadapi oleh Nur (contohnya 'penolakan' awal Adam terhadap perkahwinan yang diatur; cabaran dan penderitaan yang dialami Nur dan Adam apabila mereka akhirnya bersama) yang merupakan punca peristiwa (cause of event) dalam masa dan ruang naratif yang berbeza. Watak Nur juga adalah gambaran kestabilan watak tradisional wanita Muslim, terutamanya keteguhan Nur dalam penyerahan rohani kepada sang Pencipta. Kajian oleh Khoo Gaik Cheng menghujahkan bahawa kualiti tradisional dan penyerahan diri ini membuktikan peranan wanita Muslim yang mematuhi kod Islam yang penting, iaitu sebagai anak kepada ibu bapa mereka dan sebagai seorang isteri. Selain pemaparan watak Nur sebagai wanita Muslim yang patuh dan taat seiring kehendak agama, filem ini turut membuktikan bagaimana naratif melodrama mengangkat tema kebaikan kesabaran dan penerimaan kewujudan bersama dikotomi baik/akhlak dan buruk/jahat. Berdasarkan kajian Van Der Heide, latar cerita seperti ini merujuk kepada perlunya pengakhiran tentang moral dalam kehidupan serta kesan emosi yang dramatik.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=