Offstone JANUARY 2024 EDITION
17 Pembinaan identiti seorang Muslim boleh dipengaruhi oleh kepercayaan agamanya mahupun cara berfikir atau amalan kebiasaan yang dilakukan dalam kehidupan hariannya. Sebagai contoh, seorang Muslim dapat diklasifikasikan sebagai individu yang beriman dan mempercayai Rukun Islam dan Rukun Iman. Walau bagaimanapun, identiti Muslim juga boleh dibentuk oleh unsur-unsur budaya dan etnik. Elemen ini memberi peluang kepada umat Islam untuk mendefinisikan diri mereka, malah sebagai kaedah untuk mengenal pasti atau membezakan diri mereka dengan masyarakat yang lebih meluas. Pembinaan identiti Muslim juga berorientasikan individu dan kumpulan. Ini bermaksud seorang individu Muslim boleh melihat kepada dirinya sendiri atau merujuk kepada kumpulan Muslim tertentu untuk menyatakan persamaan atau perbezaan yang ada dalam diri mereka atau yang terdapat pada diri mereka. Dalam era digital, umat Islam tidak terkecuali dalam menggunakan media sosial. Justeru, kita perlu fahami bahawa majoriti individu Muslim masih memegang kepada pentingnya kepercayaan agama mahupun cara berfikir meskipun mereka berada dalam talian. Agama, termasuklah Islam, memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pembinaan budaya dan ianya merangkumi pembangunan budaya digital. Kesan agama terhadap budaya digital dapat dilihat dalam aspek seperti amalan agama, pendidikan, pembinaan masyarakat, dan juga sahsiah dan etika teknologi media baharu yang masih disandarkan kepada ajaran agama Islam. Sebagai contoh, apabila kita menggunakan media sosial atau membina perhubungan sosial di dalam talian, pengguna Muslim masih berpegang kepada kepercayaan agama mereka malah individu masih membuat refleksi nilai-nilai agama memandu tindakan dan aktiviti dalam talian mereka. Peluang dan Cabaran Budaya Digital Pembudayaan digital telah menyediakan peluang baharu yang positif kepada pengguna Muslim dalam memanfaatkan alat teknologi untuk tujuan pembelajaran, mengeratkan ukhuwah, menyatakan solidariti, mendapatkan maklumat dan melaksanakan aktivisme bersama komuniti dalam talian yang lain. Jika diteliti, pembudayaan media sosial bukan lagi tertumpu kepada keperluan bersosial, tetapi untuk berkomunikasi dan melakukan perubahan sosial. Sebagai contoh, pengguna Muslim yang menggunakan media sosial dan platform digital adalah untuk menentang stereotaip, berkongsi naratif serta terlibat dalam dialog dengan pengguna yang berbeza latar belakang sosial dan kepercayaan agama. Individu Muslim juga berupaya melakukan aktiviti seperti kempen advokasi dan kesedaran untuk pelbagai tujuan seperti memerangi naratif kebencian dalam talian atau meningkatkan kesedaran berkenaan isu di Palestin.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=