KONVOKESYEN KE-18 USIM

USIM “BERJASA, BERBUDI UNTUK SEMUA” Majlis Konvokesyen ke-18 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengangkat tema Sambutan 20 Tahun USIM iaitu “Berjasa, Berbudi untuk Semua” sebagai nilai yang ingin dikongsikan untuk dihayati oleh para graduan dalam Majlis Konvokesyen kali ini. USIM merupakan universiti Islam penuh pertama milik Kerajaan Malaysia yang ditubuhkan dengan nama awalnya Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM). Kini, usianya genap 20 tahun pada 18 Jun 2020. Universiti memilih tarikh 18 Jun untuk diraikan sebagai tarikh simbolik penubuhan USIM pada setiap tahun kerana ia merupakan tarikh yang bersejarah serta membawa makna yang besar. Tarikh 18 Jun 2000 telah menyaksikan sekumpulan pelajar sulung universiti ini yang datangnya dari pelbagai pelosok tanah air telah mendaftar pengajian secara rasmi sekali gus menyempurnakan segala usaha yang panjang semenjak 1950-an untuk merealisasikan penubuhan sebuah universiti Islam di Malaysia. Nama KUIM menjadi USIM ditukarkan pada 1 Februari 2007 apabila Kementerian Pengajian Tinggi menaik taraf kolej kepada universiti penuh. Ini merupakan satu pengiktirafan kepada kemampuan universiti ini untuk terus menyinar sebagai institusi pendidikan tinggi berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli. Pada awal penubuhannya, pengajian yang ditawarkan memfokuskan kepada bidang pengajian Islam melalui tiga buah fakulti sahaja tetapi kini sudah memiliki sembilan buah fakulti dengan lebih 60 program pengajian ditawarkan di pelbagai peringkat pengajian. Tidak terhad kepada bidang berteraskan pendidikan Islam semata-mata, malahan ia berkembang kepadapelbagai bidang lainantaranya sainsdan teknologi, perubatan, perundangan, bahasa, kejuruteraan mahupun kewangan. Sehingga Majlis Konvokesyen ke-17 USIM, seramai 22,689 alumni dalam pelbagai bidang pengajian dan kepakaran telah dilahirkan dan menyambung legasi USIM untuk berjasa dan berbudi kepada ummah, agama dan negara. Sesungguhnyamelahirkan graduan yang menyumbang kembali kepada ummah melalui ilmu pengetahuan dan didikan yang diterima sepanjang bergelar mahasiswa di USIM adalah ciri graduan unggul yang universiti ingin lahirkan.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=