KONVOKESYEN KE-19 USIM
Mendapat pendidikan awal di St Xavier Institution di Farquhar Street, George Town, Pulau Pinang, beliau kemudiannya telah mengorak langkah, meluaskan pencarian ilmu dan minat beliau dalam bidang perundangan dengan melanjutkan pelajaran di University of London dalam Ijazah Sarjana Muda Undang- undang dengan Kepujian. Tidak terhenti di situ, ketekunannya telahmembawa beliaumeneruskan pengajian ke peringkat yang seterusnya iaitu Ijazah Sarjana Undang-undang di Universiti Malaya, Sijil Amalan Guaman dari Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang dan Postgraduate Diploma in Sharia Law and Legal Practice (DSLP) di Universiti IslamAntarabangsa Malaysia (UIAM). Pada 8 Oktober 2021, beliau telah berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah dalam bidang undang-undang di UIAM dengan tesis yang bertajuk The Rights of the Child Who Comes into Conflict with the Law: A Legal Analysis . Sebagai seorang peguam yang berpengalaman luas, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu banyak mengendalikan kes utama dan berprofil tinggi negara. Terkini, beliau sedang mengendalikan sebuah kes berkepentingan awam (case of public interest) di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711). Kes ini melakar satu detik yang signifikan sepanjang kerjaya guaman beliau, memandangkan pertuduhan tersebut merupakan pertuduhan pertama dalam sejarah sejak Akta berkenaan berkuat kuasa pada tahun 2010. Kredibiliti dan kehandalan Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu sebagai seorang pengamal undang-undang yang tersohor tidak sahaja terhad di kamar-kamar mahkamah, malahan beliau juga aktif dalam bidang penulisan undang-undang. Beliau giat berkarya dan menghasilkan pelbagai makalah berteraskan undang-undang khususnya melibatkan litigasi jenayah, yang diterbitkan di akhbar-akhbar utama seperti The New Straits Times dan di jurnal undang-undang terkemuka di Malaysia seperti The Current LawJournal dan The Malayan Law Journal . Selain itu, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu telah menghasilkan sebuah buku bertajuk Criminal Litigation Process terbitan Sweet & Maxwell Asia pada tahun 2008 yang sekarang telah pun memasuki edisi ketiga. Buku ini ternyata menjadi rujukan asas bukan sahaja kepada pelajar dan graduan undang-undang, malah turut menjadi rujukan utama institusi dan masyarakat umum untuk mengetahui secara mendalam tentang prinsip asas dan utama berkaitan proses umum litigasi jenayah. Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu merupakan seorang tokoh yang disegani oleh pelbagai lapisan masyarakat. Ini jelas daripada bilangan lantikan dan pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa yang diterima beliau sepanjang kerjayanya yang cemerlang. Antara lain, beliau pernah dilantik sebagai wakil bagi Majlis Peguam untuk memberikan pandangan kepada Parliamentary Select Committee bagi penggubalan peruntukan dalam Kanun Keseksaan (Penal Code) dan Kanun Tatacara Jenayah (Criminal Procedure Code) pada tahun 2005; menyandang jawatan sebagai Setiausaha Ahli Majlis Peguam Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Bar Committee) bagi tempoh 2011 hingga 2012; dan pada tanggal 16 Oktober 2012, beliau dikurniakan darjah kehormat sebagai Asisten Komisioner Polis (ACP) oleh PDRM. Pada tahun yang sama, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu turut diterima masuk ke Supreme Court of Brunei Darussalam yang merupakan mahkamah tertinggi di negara tersebut. Kini, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu merupakan Ahli Penasihat bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah disandang oleh beliau sejak tahun 2016 dan juga penasihat peribadi bagi DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail. Beliau turut menyandang jawatan sebagai Profesor Adjung di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin Terengganu (UniSZA).
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=