Buletin HEPA 2024
USIM LIVING LAB SANTUNI GOLONGAN MISKIN BANDAR SEMPENA JAULAH SUKARELAWAN USIM 2024: SEMARAK SISWA MADANI (CHAPTER KUALA LUMPUR) Pada 19 Julai 2024, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya melaksanakan program Jaulah Sukarelawan USIM 2024: Semarak Siswa Madani (Chapter Kuala Lumpur) – USIM Living Lab, dengan penglibatan seramai 120 orang sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa dan staf USIM serta kerjasama dari 20 orang NGO Food for Gelandangan (FFG). Program ini memfokus untuk menyantuni lebih 200 orang yang terdiri daripada golongan miskin bandar di sekitar Jalan Belia, Chow Kit, Kuala Lumpur. Program sukarelawan pada kali ini bukan hanya fokus kepada pengedaran bantuan makanan kepada golongan miskin bandar, malah beberapa perkhidmatan disediakan kepada komuniti setempat berdasarkan kepakaran sedia ada di USIM. Kepakaran dari USIM yang dibawa pada malam ini melibatkan pakar daripada Fakulti Pergigian bagi pemeriksaan pergigian, Fakulti Perubatan dan Kesihatan bagi rawatan masalah mata, Bahagian Psikologi dan Kaunseling bagi psiko-pendidikan, Pusat Kesihatan Universiti bagi pemeriksaan kesihatan dan penjagaan diri serta dari Pusat Kebudayaan untuk persembahan buskers. Pendekatan kepada golongan ini dibuat secara menyeluruh kepada semua peringkat umur. Program sukarelawan ini dihadiri oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM dan Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, Pengerusi LPU USIM yang turut bersama-sama menyantuni dan berkongsi rezeki serta membuat tinjauan mesra khidmat komuniti bersama golongan yang memerlukan. Naib Canselor USIM berkata, “USIM Living Lab adalah satu pendekatan dengan menjadikan dunia luar itu sebagai makmal hidup untuk belajar, berkhidmat dan berinteraksi dengan masyarakat. Nilai sukarelawan yang diterapkan kepada pelajar dapat membentuk jati diri dan karakter serta memberi peluang kepada pelajar untuk belajar selain di bilik kuliah. Pengalaman ini melengkapi ilmu yang dipelajari di universiti yang amat berharga dengan mengajar rasa syukur di samping mencari peluang untuk membantu golongan yang memerlukan.” Pengerusi LPU USIM pula menekankan kepentingan program ini dalam menjayakan agenda Sustainable Development Goals (SDG) dalam menghapuskan kemiskinan serta perkongsian dan pemindahan ilmu kepada komuniti. “Pendidikan tinggi negara harus mampu menjadi wahana ‘human transformer’ dan ‘culture builder’ dalam kepentingan pembentukan ‘otak’ dan ‘watak’, kemenjadian mahasiswa dan memberdayakan komuniti dan industri melalui KSTP (Knowledge Sharing and Transfer Program). Pelajaran dalam sukarelawan memberi jiwa rasa tentang keprihatinan, kepimpinan dan kerjasama serta kepentingan memberi tanpa mengharapkan balasan. Diharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat dan menjadi inspirasi dorongan untuk teruskan usaha sukarelawan.” tambah beliau lagi. 2024 HEPA EDISI KHAS SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN KE-22 UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA Buletin 45 Menerajui Integrasi Ilmu
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=