Buletin HEPA 2024

LENSA TNC HEPA: KECEMERLANGAN SAHSIAH PLUS KECEMERLANGAN AKADEMIK TERAS GRADUAN BERKUALITI Syabas! Tahniah! Mubarak! Kepada semua graduan yang bakal menerima selembar ijazah sebagai manifestasi terhadap keberhasilan sebuah perjalanan menuntut ilmu demi menggapai cita-cita dan impian peribadi, keluarga dan insan tersayang. Ijazah yang menjadi bukti penguasaan seorang graduan terhadap disiplin ilmu dalam bidang pengajian yang ditekuni, lantas melayakkan seorang graduan untuk memulakan fasa baharu kehidupan di alam kerjaya. Namun, barang diingat bahawa di era penuh persaingan ini, kecemerlangan dalam penguasaan bidang pengajian semata-mata belum tentu dapat menjamin seorang graduan sukses dalam menempuhi cabaran baharu alam kerjaya seperti dicita. Banyak aspek lain akan menjadi perhatian pihak majikan, industri dan penawar pekerjaan ke dalam diri setiap calon yang tampil memohon untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawar memandangkan persaingan semakin sengit dari masa ke masa. Lebih mencabar, jika graduan memilih untuk mencipta pekerjaan sendiri menerusi laluan perniagaan dalam bidang yang diminati, kerana keperluan untuk memenuhi kehendak industri, pelanggan dan pemegang taruh sangat kompleks. Hanya graduan dengan kemahiran insaniah holistik yang berpotensi untuk sukses dalam pertaruhan ini. Menyedari hakikat ini, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) terutamanya sejak sekian lama telah menekankan aspek ini kepada para pelajar dan ibu bapa. Berbagai inisiatif diadakan bagi menggalakkan penglibatan seramai mungkin para mahasiswa sejak dari mula mereka menjejakkan kaki ke kampus lagi. Lebih dari itu, dalam pembangunan kurikulum menerusi setiap program pengajian, bahkan setiap kursus atau mata pelajaran yang diikuti oleh para mahasiswa di universiti, perlu memastikan teras kemahiran insaniah dipupuk dan disuburkan secara konsisten, berstruktur dan berfokus. Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam standard program semua bidang pengajian dan sentiasa disemak, dinilai dan ditambah baik secara berterusan mengikut keperluan dan perkembangan semasa. Seperti dimaklumi, dalam arena pendidikan hari ini, lebih-lebih lagi di peringkat pendidikan tinggi, kebergantungan kepada sesi formal menerusi dewan kuliah, kelas tutorial, makmal eksperimen, studio latihan dan sebagainya tidak lagi memadai untuk membina keterampilan dan keberhasilan seorang graduan hatta dalam disiplin ilmu yang dipelajari, apatah lagi untuk membentuk sebuah personaliti unggul yang didamba oleh para pemegang taruh. Bertitik tolak dari sini, seluruh kehidupan para mahasiswa sepanjang berada di alam pengajian perlu disusun atur agar setiap detik yang dilalui, dimanfaatkan sepenuhnya untuk memenuhi keperluan yang tidak dapat dilunasi semasa sesi pengajian formal mereka. Sesungguhnya nature atau tabiat pendidikan peringkat universiti itu sendiri selari dengan perkembangan fasa kehidupan para mahasiswa yang menuju alam kedewasaan, merupakan sebuah proses pembelajaran holistik untuk menyerlahkan kognitif, meneguhkan emosi, mengukuhkan budi sosial dan meluhurkan spiritual mereka, sebagai jambatan bagi menuju fasa seterusnya selepas bergraduasi. Hakikat ini perlu dihayati oleh para mahasiswa dan para ibu bapa agar matlamat serta ekspektasi besar daripada perjalanan pembelajaran ini dapat dituai dengan sempurna seperti diharapkan semua pihak di hujung destinasi pengajian. Dengan itu, perencanaan serta perancangan pihak universiti dalam menyusun atur berbagai program, menawarkan berbagai insentif, melorongkan bermacam peluang dan menyediakan beberapa prasarana, bagi menggalakkan penglibatan paramahasiswadalamaktiviti pembangunansahsiah dan sosial bagi melengkapkan keterampilan mereka, seharusnya mendapat sambutan menyeluruh daripada setiap individu bergelar mahasiswa mahupun mahasiswi. Sementelahan sejak sedekad dua ini, berbagai inisiatif turut diunjurkan oleh berbagai pihak termasuk daripada pihak industri, institusi kewangan, agensi kerajaan, sektor korporat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan lain-lain dalam usaha memenuhi tuntutan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi organisasi masing-masing, serta menyahut seruan kerajaan agar lebih banyak limpahan kejayaan dikongsikan bersama komuniti, menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) masing-masing, demi memacu pembangunan negara dan bangsa ke arah yang lebih sejahtera, harmoni dan saksama. Lebih manis, beberapa usahawan berjaya dalam kalangan alumni USIM sendiri tidak putus memberikan dorongan, sokongan, serta dukungan mereka terhadap aktiviti kemahasiswaan menerusi berbagai inisiatif dan insentif. 2024 HEPA EDISI KHAS SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN KE-22 UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA Buletin 3 Menerajui Integrasi Ilmu

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=