Buletin HEPA USIM 2026

SIGMA 2026 PERKASA KEPIMPINAN DAN KESUKARELAWANAN MAHASISWA USIM ARAU , 19 Ogos 2026 – Seramai 19 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai Simposium Agenda Pemerkasaan Mahasiswa Kebangsaan 2026 (SIGMA 2026) yang berlangsung pada 18 hingga 19 Ogos 2026 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai platform memperkukuh kepimpinan, kesukarelawanan serta jaringan mahasiswa di peringkat kebangsaan. Sepanjang dua hari penganjuran, delegasi USIM terlibat dalam pelbagai pengisian termasuk sesi pembentangan, perkongsian amalan terbaik dan pertukaran pengalaman bersama mahasiswa daripada institusi pengajian tinggi awam yang lain. Antara penglibatan utama delegasi USIM ialah pembentangan oleh Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM) sesi 2025/2026 menerusi kluster Impact and Sustainability yang mengetengahkan beberapa inisiatif kesukarelawanan universiti. Program yang dikongsikan termasuk USIM Living Lab Edisi Ramadan, USIM Living Lab 3.0, Jaulah Sukarelawan Sabah dan Jaulah Sukarelawan USIM 2025 yang memberi gambaran mengenai pendekatan mahasiswa USIM dalam melaksanakan aktiviti kesukarelawanan berasaskan impak dan kelestarian. Pendedahan tersebut membolehkan mahasiswa mendapatkan idea baharu dalam merancang program yang bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah mempunyai elemen kreativiti, impak serta kelestarian yang lebih jelas. SIGMA 2026 menghimpunkan mahasiswa daripada institusi pengajian tinggi awam menerusi pelbagai pengisian berkaitan kepimpinan, kesukarelawanan, pengurusan mahasiswa serta perkongsian amalan terbaik. Penganjurannya turut menyediakan ruang kepada peserta bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan membina jaringan strategik, sekali gus memperkukuh peranan mahasiswa sebagai pemimpin muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti. Selain memperluas jaringan, penyertaan USIM dalam simposium berkenaan turut memberi peluang kepada mahasiswa meneliti inovasi serta pendekatan pengurusan mahasiswa yang dilaksanakan di universiti lain untuk dijadikan rujukan dalam penambahbaikan program dan inisiatif di USIM. Penglibatan delegasi USIM dalam SIGMA 2026 sekali gus memperkukuh usaha universiti membentuk mahasiswa yang mempunyai kemahiran kepimpinan, jati diri, semangat kesukarelawanan serta keupayaan membina kerjasama merentas institusi bagi menghasilkan impak yang lebih luas kepada universiti dan masyarakat. 46 “Integrasi Ilmu Tonggak Kebitaraan Graduan” EDISI KHAS SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN KE-24

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=