OFFSTONE | JUNE 2021 | FKP USIM
31 Kesan Terhadap Penutupan Sekolah Bagi pelajar yang baharu sahaja melangkah ke darjah satu atau pra-sekolah berhadapan dengan masalah pembelajaran dalam talian akibat penutupan sekolah. Tidak ketinggalan bagi mahasiswa di tahun pertama pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Kanak-kanak yang masih belum mengenal dan menyebut huruf dengan baik adalah antara mereka yang banyak berhadapan dengan masalah pembelajaran. Namun, bukan semua subjek sesuai dijalankan melalui kaedah pembelajaran secara dalam talian. Bagi pelajar yang masih belum menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira), mereka tergolong dalam kumpulan yang amat bermasalah ketika Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dijalankan. Kita faham bahawa penutupan sekolah adalah untuk mengurangkan penularan wabak berlaku. Namun, tidak dinafikan, penutupan sekolah juga memberi kesan negatif kepada pelajar terutama yang berada di kawasan luar bandar. Walau bagaimanapun, pelajar diberikan kebenaran untuk ke sekolah dengan Tatacara Operasi Standard ( Standard Operating Procedure-SOP ) yang ketat setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan arahan penggiliran belajar dan sebagainya. Apa yang merungsingkan ialah asas pembelajaran yang belum mantap akan menyebabkan kerencatan pembelajaran kanak-kanak yang berada di peringkat awal persekolahan. Amat menyedihkan kerana terdapat pelajar yang tidak mampu memiliki telefon pintar atau tablet bagi memudahkan kelangsungan PdP. Golongan ini akan terus ketinggalan jika terus terhimpit dalam keadaan ini. Impak negatif pendemik juga menyebabkan pelajar ketinggalan lost generation , sekiranya penutupan sekolah secara berterusan. Seterusnya, pembelajaran bersemuka digantikan dengan pembelajaran dalam talian yang menyebabkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa. Adakah dengan mengikuti pembelajaran dalam talian setara dengan mengikuti PdP di dalam kelas? Ini antara persoalan yang timbul di benak ibu bapa terus menjadi tanda tanya tanpa jawapan yang meyakinkan. Selain itu, pelbagai isu timbul kesan daripada pembelajaran dalam talian seperti: - Pelajar tidak mempunyai akses Internet. - Pelajar tiada peranti untuk belajar. - Kesukaran ibu bapa dan guru untuk memantau prestasi pelajar. - Proses pembelajaran dua hala tidak dapat dijalankan dengan baik.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=