OFFSTONE | JUNE 2021 | FKP USIM

18 Sungguhpun pelbagai kempen dijalankan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai untuk berikrar menjadi penderma organ, kebanyakan mereka masih dibelenggu oleh seribu persoalan dan kegusaran yang menegah mereka untuk menjadi penderma organ. Adakalanya, terdapat kes yang anak telah berikrar untuk menjadi penderma organ tetapi apabila tiba masa untuk menderma, ibu bapa dan keluarga menjadi penghalang. Akhirnya, ikrar penderma organ terkubur buat selama-lamanya. Selain itu, terdapat banyak lagi halangan dan cabaran yang dihadapi oleh pihak yang terlibat dengan usaha pendermaan organ dan transplan negara. Sungguhpun dunia masih bergelut dengan pandemik COVID-19, kita perlu ingat bahawa usaha menambahkan bilangan penderma organ serta kempen derma organ tidak boleh dihentikan semata-mata kerana COVID-19. Proses perolehan organ perlu diteruskan untuk menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan pemindahan organ dengan segera. Justeru, pihak yang berkenaan perlu mengambilkira langkah-langkah yang sesuai agar proses pendermaan organ terus dilaksanakan tanpa halangan. Langkah-langkah Proses Pendermaan Organ Semasa Pandemik COVID-19 Pertama, polisi melawat yang menegah keluarga untuk mendekati pesakit. Dalam kes pesakit mati otak, polisi sedemikian perlu mengambil kira kepentingan emosi ahli keluarga untuk menerima hakikat kematian orang tersayang dan perlu diberi pertimbangan bagi keluarga terdekat untuk meluangkan masa bersama pesakit di saat-saat akhir sebelum menemui ajal. Secara tidak langsung, ia dapat membantu mereka membuat keputusan untuk menderma organ orang tersayang kepada mereka yang memerlukan. Menurut Pengurus Klinikal, Pusat Sumber Transplan Kebangsaan (PSTK), Dr. Diana Mohd Shah, dalam kesedihan kerana kehilangan orang disayangi, masih ada ahli keluarga berhati mulia mendermakan organ orang yang disayangi sebagai 'penghargaan' terakhir untuk si mati. Kedua ialah faktor logistik proses pendermaan organ dan transplan iaitu pihak berkenaan perlu memastikan agar ujian SARS-COV 2 PCR dilakukan dengan teliti untuk mengelakkan sebarang risiko dan ketidakpastian supaya tidak mendatangkan mudarat khususnya kepada penerima organ. Ketiga, ialah dari segi proses perolehan organ tersebut. Ini harus dipastikan agar tidak mendatangkan bahaya kepada penerima organ, sungguhpun proses pemindahan organ dilakukan oleh doktor pakar yang berpengalaman.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=