E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 92 Rajah 2: Jenis Peratusan Hazard (Bahaya) Bagi Kesihatan Jemaah Haji dan Umrah (Carta Pai) ANALISIS DATA KUALITATIF (TEMU BUAL) Temu bual separa berstruktur bersama petugas haji, mutawif/mutawifah, petugas kesihatan dan jemaah haji yang melalui pengalaman tersebut telah mendedahkan dimensi tambahan hazard dan kesan yang dihadapi. Beberapa tema utama dikenal pasti: 1. Hazard Persekitaran: suhu tinggi sehingga melebihi 50°C, kesesakan di kawasan ibadah seperti Jamrah, serta jarak perjalanan yang panjang. 2. Hazard berkaitan Individu: faktor usia lanjut dan penyakit kronik yang meningkatkan kerentanan jemaah. 3. Hazard Fizikal: terpelecok ketika melangkah masuk aerotrain , risiko jatuh di eskalator, permukaan lantai licin di Masjidilharam, serta terhimpit ketika melakukan ibadah melontar jamrah. 4. Strategi Mitigasi: penggunaan kerusi roda dan tongkat, pengambilan air secukupnya, literasi kesihatan yang ditingkatkan serta pemantauan rapi oleh mutawif dan petugas kesihatan. Kajian terdahulu turut menyokong dapatan kajian ini. Alghamdi, Alanazi, Alhazmi, Alqahtani, dan Alzahrani (2024) melaporkan prevalens kecederaan muskuloskeletal dalam kalangan jemaah semasa Haji 2023, khususnya akibat jarak berjalan yang jauh. WHO/EMRO (2019) pula menegaskan bahawa jangkitan pernafasan kekal sebagai risiko utama, terutama dalam kalangan jemaah dari negara endemik. TRIANGULASI DATA Perbandingan antara data primer dan sekunder menunjukkan konsistensi pola hazard. Data soal selidik mengesahkan dapatan Tabung Haji dan KKM, sementara data Saudi dan kajian antarabangsa menambah kedalaman analisis. Sebagai contoh, dapatan soal selidik mengenai hazard fizikal berjaya memperincikan risiko yang hanya dicatat secara umum dalam laporan Tabung Haji (2022). Data Saudi pula menunjukkan magnitud sebenar risiko haba yang mengakibatkan ribuan kes keletihan dan kematian dalam satu satu musim haji (Memish et al., 2024). RUMUSAN DAPATAN Kajian ini mengesahkan bahawa hazard utama dalam kalangan jemaah haji dan umrah terdiri daripada penyakit pernafasan, strok haba, dan masalah sendi/otot. Namun, kecederaan fizikal akibat jarak perjalanan, permukaan jalan, serta kesesakan ibadah turut menyumbang kepada risiko yang signifikan. Faktor usia dan penyakit kronik kekal sebagai penentu utama kerentanan jemaah. Hasil ini memberi implikasi penting bahawa strategi mitigasi tidak boleh tertumpu pada kesihatan dalaman semata-mata. Sebaliknya perlu merangkumi aspek persekitaran fizikal, logistik pergerakan, serta pengurusan masa. Peranan petugas haji, mutawif/mutawifah dan petugas kesihatan terbukti amat penting dalam lapangan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan jemaah sepanjang ibadah haji dan umrah.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=