OFFSTONE JUNE EDITION 2025

30 Cabaran Literasi Digital dalam Kalangan Mahasiswa Salah satu cabaran utama literasi digital ialah penyebaran maklumat palsu atau hoaks. Kajian menunjukkan mahasiswa sering sukar membezakan antara sumber maklumat yang sahih dan palsu akibat kurangnya kemahiran menilai kredibiliti maklumat. Menyebarkan maklumat tanpa memastikan kesahihannya adalah dilarang, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 6 yang menuntut umat Islam untuk melakukan tabayyun atau menyelidik kebenaran sesuatu berita sebelum menyebarkannya. Selain itu, kebergantungan berlebihan kepada teknologi digital turut menjadi cabaran yang begitu serius. Mahasiswa yang terlalu banyak menghabiskan masa dengan peranti digital berisiko mengalami masalah kesihatan mental seperti kebimbangan dan kemurungan. Ketergantungan ini juga mengurangkan interaksi sosial secara langsung, sedangkan Islam menggalakkan ukhuwah dan silaturahim sesama manusia. Walaupun mahasiswa sering dianggap sebagai digital natives , hakikatnya mereka masih kurang memiliki pemahaman kritis terhadap kandungan digital. Kajian mendapati hanya sebahagian kecil mahasiswa yang benar-benar mampu menganalisis dan menilai maklumat digital secara kritis. Islam menuntut umatnya berfikir secara rasional dan tidak menerima sesuatu secara membuta tuli, seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Isra’ ayat 36. Oleh itu, pendidikan literasi digital perlu menekankan aspek pemikiran kritis dan tanggungjawab moral, seiring dengan tuntutan agama. Peluang Literasi Digital kepada Mahasiswa Walaupun terdapat pelbagai cabaran, literasi digital juga menawarkan peluang besar kepada mahasiswa. Salah satu peluang utama ialah akses kepada sumber pengetahuan yang luas. Platform digital seperti Google Scholar dan perpustakaan digital membolehkan mahasiswa mengakses jurnal, buku, dan artikel akademik dengan mudah, sekali gus meningkatkan prestasi akademik mereka. Menuntut ilmu adalah satu kewajipan dalam Islam dan penggunaan teknologi untuk tujuan pembelajaran adalah selari dengan tuntutan agama. Literasi digital juga membuka peluang untuk membangunkan kemahiran baru seperti pengaturcaraan, analisis data, dan pengurusan kandungan digital. Kemahiran ini sangat penting dalam pasaran kerja moden yang semakin bergantung kepada teknologi. Mahasiswa yang menguasai literasi digital bukan sahaja dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, malah mampu menjadi agen perubahan dalam masyarakat. Platform digital seperti LinkedIn, Zoom, dan Slack membolehkan mahasiswa berkolaborasi dan membina jaringan dengan individu dari pelbagai negara. Hal ini bukan sahaja meningkatkan peluang kerjaya, tetapi juga memperluas perspektif global mahasiswa. Namun, dalam Islam, individu yang berinteraksi di ruang maya diingatkan agar sentiasa menjaga adab dan etika bagi mengelakkan fitnah dan menjaga maruah diri serta orang lain.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=