MAJALAH AL-HIKMAH EDISI 9 | 2020

Tinta Pensyarah 1 ADAB MENUNTUT ILMU MEMBAWA KEBERKATAN DALAM HIDUP Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz. Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, USIM. Ungkapan kata “adab dalam menuntut ilmu membawa kepada keberkatan” sering didengari, tetapi apakah itu keberkatan? Keberkatan dalam bahasa yang mudah difahami adalah hidup seseorang yang dilimpahi dengan kebaikan. Dalam erti kata lain, Allah SWT mencukupkan keperluan dan urusannya walaupun dalam keadaan serba kekurangan, manakala jika Allah limpahkan nikmat rezeki yang banyak pula dapat dimanfaatkan bersama orang lain. Di samping itu, Allah turunkan lebih banyak nikmat dan hadirkan rasa tenang serta bahagia. Persoalannya, bagaimana ingin hidup yang berkat? Salah satu jawapannya adalah dengan mengamalkan adab ketika menuntut ilmu. Adab ini asal praktisnya bermula daripada rumah dan dalam pendidikan adab dipengaruhi oleh pelbagai aspek seperti elemen agama, adat dan budaya. Hal ini sangat dititikberatkan supaya keberkatan ilmu yang disampaikan oleh seorang guru atau murabbi akan melimpahi kehidupan anak didiknya. Jika ditelusuri, adab ini terletak dalam komponen akhlak yang merupakan tiang utama dalam agama Islam. Malah, adab dan akhlak diungkap dalam banyak perkataan yang hampir sama maknanya seperti kesantunan, moral, kesopanan dan kesusilaan. Dalam cabaran dan realiti yang harus ditempuhi oleh para pendidik pada hari ini antaranya adalah isu adab pelajar yang semakin tipis. Golongan pendidik diibaratkan sebagai lilin yang membakar diri demi menerangi kehidupan orang lain. Peribahasa Melayu ini menggambarkan kesungguhan serta keikhlasan seorang pendidik yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi memastikan anak didiknya berjaya dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, apa yang menyedihkan adalah seringkali terpapar di dada akhbar mahupun media sosial kisah-kisah berkaitan sikap serta layanan buruk pelajar terhadap gurunya.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=