MAJALAH AL-HIKMAH EDISI 8 | 2020

1 PENGENALAN RINGKAS KITAB AL-MILAL WA AL-NIḤAL OLEH IMAM AL- SHAHRASTĀNĪ (479-548H / 1086-1158M) Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali , Pensyarah Kanan, Program Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia Pendahuluan Kemajuan teknologi hari ini memudahkan pencarian maklumat berkenaan pelbagai perkara. Bermula daripada hal ehwal agama, pendidikan, kesihatan, ekonomi, sosial, politik, makanan dan fesyen. Segala-galanya kini di hujung jari. Malah, dapat dikatakan bahawa mereka yang hidup tanpa maklumat adalah mereka yang ketinggalan atau tidak hidup mengikut semangat zaman ( zeitgeist ) sekarang. Dalam ungkapan Alvin Toffler (1928-2016), seorang penulis dan pemikir kajian masa hadapan daripada Amerika: “ the illiterate of the 21st century will not be those who cannot read and write, but those who cannot learn, unlearn, and relearn .” Jika dibandingkan kehidupan hari ini dengan kehidupan pada abad-abad yang lalu, kita boleh memahami kesukaran dan keperihan yang dihadapi oleh para sarjana dan penulis awal dalam mendapatkan maklumat serta merekodkan segala macam informasi. Bayangkan para ilmuwan awal yang tidak memiliki komputer riba atau telefon tangan untuk merekod dan merujuk maklumat yang telah mereka peroleh. Tidak mempunyai aplikasi atau perisian untuk menyusun dan menganalisis segala rekod maklumat. Terpaksa mencatat segala pemerhatian dan sumber lisan yang mereka peroleh daripada para guru atau informan dalam lembaran kertas, kulit kayu, pelepah daun, dan batu. Menulis menggunakan pena bulu burung, ranting kayu atau jari dicelup cat warna yang terpaksa dibancuh terlebih dahulu.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=