MAJALAH AL-HIKMAH EDISI 8 | 2020

18 Bukan setakat itu sahaja, sarjana Ilmu Perbandingan Agama dunia telah mengiktiraf Islam sebagai sumber sebenar Ilmu Perbandingan Agama. Franz Rosenthal (1914 – 2003), seorang Profesor Emiritus yang disegani di Barat telah menyatakan “the comparative study of religions has been rightly acclaimed as one of the great contributions of Muslim civilization to mankind’s intellectual progress” yang membawa maksud bahawa Ilmu Perbandingan Agama adalah suatu sumbangan besar Peradaban Islam kepada perkembangan intelektual Manusia. Malah, Orientalis Stanton turut mengakui “No scripture in the world teaches such a comparative religion’ as the Qur’an” yang membawa maksud tiada kitab suci di dunia ini yang mengajarkan tentang Ilmu Perbandingan Agama sebegitu lengkap seperti kitab al-Qur’an. Pengakuan dan pengiktirafan ini tidak dapat disangkal lagi. Al-Quran sememangnya banyak menyentuh tentang orang-orang bukan Islam dan kepercayaan lain. Sebagai contoh, al-Quran menyentuh tentang Ahlul Kitab (lihat al-Quran 2:105,109; 3: 64-65; 5:15, 59, 65, 68, 77); tentang Sabian (2:62; 5:69; 22:17); tentang nabi-nabi diutuskan kepada semua manusia sepangjang zaman (10:47, 16:36); tentang dakwah para nabi ini kepada umat mereka (5:59-93, 23:52-54, 6:48) dan sebagainya. Al-Quran juga telah menjelaskan bahawa Allah telah menciptakan manusia dalam berbagai bangsa dan suku puak supaya kita semua dapat saling berkenal-kenalan dan ini menunjukkan bahawa perbezaan kita bukannya untuk saling mencurigai dan bermusuh-musuhan tetapi untuk berkenal-kenalan dan hidup bersama secara aman. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat (49) ayat 13 yang bermaksud: “ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya. ” Salah satu wadah untuk merealisasikan tujuan murni ini antara pelbagai penganut agama ialah melalui ziarah atau lawatan dan dialog antara agama, iaitu komunikasi harmoni dua hala antara penganut berlainan agama. Terdapat banyak keperluan, kepentingan, dan faedah dialog agama yang bakal dikecapi oleh semua pihak termasuklah umat Islam, terutamanya didalam konteks negara berbilang agama seperti Negara kita Malaysia serta dipersada dunia yang penuh mencabar dengan pelbagai serangan ideologi dan salah faham terhadap Islam dan Muslim. Aktiviti ziarah dan dialog antara agama sudah tidak asing lagi dalam negara kita ini. Bahkan sebenarnya dialog antara agama ini sememangnya tidak asing dalam sejarah Islam.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=