MAJALAH AL-HIKMAH EDISI 3 | 2015

28 Kita perlu menjaga dan mengelakkan diri dari bersikap takabbur dan angkuh terutamanya ketika berhadapan dengan isu-isu khilaf para ulama. Memandang orang lain dengan sebelah mata lantaran merasakan diri begitu hebat adalah di antara alamat takabbur. Maka rendahkanlah diri terlebih dahulu sebelum terlibat dengan segala perbahasan khilaf.  Meninggalkan ta’sub Meninggalkan ta’sub di sini bermaksud meninggalkan taasub pendapat sendiri, mazhab dan golongan serta tokoh tertentu sahaja tanpa diperhatikan pendapat dan pandangan orang lain. Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi telah menjelaskan di dalam kitabnya al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Ikhtilaf al- Masyruk Wa al-Tafarruq al-Mazmum : “Seseorang harus melepaskan dirinya daripada taasub terhadap pendapatnya sendiri. Ini disebabkan orang yang tidak dapat melepaskan diri daripada taasub ini akan sentiasa mempertahankan pendapatnya sendiri walaupun dia mengetahui pendapatnya salah dan lemah penjelasannya. Ia hanyalah ingin memenangkan hawa nafsunya, memandang rendah pendapat orang lain dan takut dituduh kurang kefahaman”. Sebagai seorang umat Islam yang tidak mampu untuk berijtihad maka selayaknyalah kita mengikut mana-mana pandangan dan ijtihad daripada imam-imam mazhab. Mazhab ini sebagai salah satu jalan keluar bagi golongan awam beramal dengan syariat Islam secara lebih berkesan. Namun terdapat segelintir umat Islam terutamanya masyarakat awam yang begitu taasub dengan mazhabnya lantas menyalahkan mazhab lain yang tidak sependapat dengan mazhabnya. Ini merupakan satu fanomena tidak sihat yang perlu diberikan perhatian oleh setiap alim ulama setempat.  Berlapang dada Berlapang dada telah menjadi amalan di kalangan para ulama Salaf ketika berhadapan dengan khilaf sesama mereka. Walaupun terdapat banyak percanggahan pandangan, namun mereka tetap saling hormat-menghormati di antara satu sama lain dan tidak menyebabkan ikatan perpaduan terlerai. Mereka mempunyai nilai akhlak dan adab yang tinggi selaras dengan tuntutan mendalami ilmu Tasawuf.  Bersangka baik Di antara asas akhlak yang penting di dalam pergaulan dan perhubungan sesama umat Islam ialah berprasangka baik kepada orang lain dan tidak boleh didasari prinsip suka memuji diri sendiri dan menyalahkan orang lain. Islam melarang kita memuji-muji diri sendiri kerana bimbang akan mendatangkan perasaan riyak dan takabbur dengan pandangan dan pendapat sendiri. Firman Allah Taala bermaksud: “ Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak ia menciptakan kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian di dalam perut ibu kamu maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa ”. (Surah anNajm:Ayat 32).

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=