Majalah Al-Hikmah Edisi ke 16
rakyat Malaysia di Korea, baik pelajar mahupun pekerja. Sebaik masuk waktu Zuhur, kami menuju ke Seoul Central Mosque untuk menunaikan Solat Jumaat bersama komuniti Muslim Korea. Beberapa keunikan khutbah mereka : khatib hanya menaiki satu pertiga tangga mimbar dan menyampaikan khutbah dalam tiga bahasa — bermula dengan Arab, diikuti Bahasa Inggeris, dan diakhiri dengan Bahasa Korea. Seusai mendirikan fardu ain tersebut, kami meneruskan perjalanan ke Myeongdong, sebuah kawasan membeli-belah yang sibuk dan mesra pejalan kaki di Seoul. Myeongdong terkenal dengan gabungan jenama fesyen antarabangsa, gedung serbaneka, kawasan jual beli bawah tanah dan sejumlah besar kedai kosmetik berjenama Korea. Ia juga merupakan destinasi popular untuk makanan jalanan, santai dan hiburan. Dengan kesibukan yang sedia ada, kami tidak melepaskan peluang memperkenalkan budaya dan adat Melayu kepada rakyat Korea sepanjang berada di sana. 13September 2025 Aktiviti hari ini agak berlainan daripada hari-hari sebelumnya; para mahasiswa dijadualkan melawat Gyeongbokgung Palace di Jongno District. Istana ini merupakan istana utama dan terbesar semasa zaman Dinasti Joseon di Korea Selatan, dibina pada tahun 1395 dan terletak di tengah-tengah Seoul. Ia telah mengalami kemusnahan dan pemulihan berulang kali, terutamanya semasa penjajahan Jepun, dan kini telah dibaik pulih serta menjadi tapak sejarah penting untuk pelancong. Beberapa tarikan utamanya termasuk dewan takhta Geunjeongjeon, paviliun Gyeonghoeru, dan upacara pertukaran pengawal istana. Hari itu, kami menyewa pakaian tradisional rakyat Korea iaitu hanbok. Hanbok ialah pakaian tradisional Korea yang dikenali dengan garis-garis elegan dan warna-warna cerah. Pakaian ini terdiri daripada jeogori (jaket pendek) dan chima (skirt labuh) untuk wanita, manakala lelaki memakai jeogori dengan baji (seluar) dan biasanya baeja (kot pendek). Hanbok dipakai pada majlis istimewa seperti perayaan, perkahwinan, dan upacara tradisional — tetapi kini juga telah dimodenkan untuk gaya hidup kontemporari. Kami berjalan sambil memakai hanbok menuju ke Gyeongbokgung Palace. Sebaik tiba di istana, kami menyaksikan secara langsung upacara pertukaran pengawal. Dari situ, kami dapati bahawa rakyat Korea amat menjaga adat dan budaya mereka supaya tidak ditelan zaman yang berubah. Penutup Sebagai penutup, pengembaraan “KAJA TO SEOUL: ISLAM INSIGHTS & LEARNING KOREAN MUNHWA” memberikan pengalaman yang amat bermakna kepada semua peserta. Program ini bukan sekadar membuka ruang untuk memahami budaya dan masyarakat Korea, tetapi turut memperkukuh kefahaman kami terhadap keindahan Islam yang bersifat sejagat dan mampu diterapkan dalam pelbagai konteks budaya. Melalui aktiviti persilangan budaya, lawatan ilmiah, serta libat sama masyarakat, kami belajar erti toleransi, hormat-menghormati, dan keperluan berdakwah dengan hikmah dalam dunia yang berbilang bangsa dan agama. Pengalaman ini juga mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan serta semangat kesukarelawanan dalam diri setiap peserta. Justeru, GISEOUL menjadi wadah berharga yang bukan sahaja memperkaya ilmu dan pengalaman antarabangsa, bahkan menanam rasa tanggungjawab untuk terus menjadi duta kecil Islam dan Malaysia di persada dunia. MA JA L AH A L - H I KMAH 64
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=