Majalah Al-Hikmah Edisi ke 16

MA JA L AH A L - H I KMAH 32 Mohamad Hakimi: Nasihat saya kepada semua mahasiswa agar jangan sia-siakan masa anda di USIM. Selain hadiri kuliah-kuliah atau buat assignment, ambillah mutiara ilmu (talaqqi) di luar daripada kuliah formal. Ramai para guru yang sudi berkongsi ilmu. Pensyarah- pensyarah kita juga boleh mengadakan sesi pengajian khas bersama. Ini juga pernah saya buat dahulu. Saya yakin guru-guru tidak akan menolaknya bahkan mereka seronok untuk berkongsi ilmu. Seingat saya, dahulu saya pernah anjurkan kelas pengajian nahu sorf bersama Dr Najaa Mokhtar, kelas tarannum bersama Al-marhum Dr Nasief S. Disomimba dan juga tidak dilupakan kepada guru-guru luar yang kita jemput untuk menyampaikan kuliah seperti Al-marhum Al-Musnid Ustaz Mohd Zaidi bin Abdullah. Kalau kita tak boleh hadir semua pengajian talaqqi atau pengajian agama, hadirlah setakat mana yang mampu. Saya juga menggalakkan adik-adik untuk selalu dampingi ( suhbah ) pensyarah-pensyarah dan ambil manfaat sebaiknya dengan mereka selagi kesempatan masih ada. Selain itu banyakkan masa dengan aktiviti persatuan, kerana percayalah ia sangat membantu anda untuk memahami organisasi, psikologi manusia dan multitasking, bahkan ia akan menjadi "ajinomoto" di masa anda hendak memohon kerja kelak. Dengan berpersatuan, kita boleh bina persahabatan dengan ramai kawan, bukan sahaja mereka yang sekuliah dengan kita. Kita juga boleh belajar banyak perkara. Saya juga pernah diminta untuk mengambil alih dalam pembikinan majalah Al-Hikmah ini dari senior, saya tidak tahu apa-apa, tapi dengan bimbingan pensyarah, sahabat-sahabat dan semua pihak, kami dapat teruskan dan disambung pula oleh para editor yang lain sehinggalah sekarang. Sekarang, saya menjadi jurulatih dalam aktiviti berkuda (menunggang kuda, memanah, dan pengurusan kuda) di ARBA Equine Archery Park di Ulu Yam Bharu. Kami alu-alukan ahli PERWADAH dan warga USIM untuk hadir ke tempat kami untuk berprogram di sini. Insya-Allah jika tiada aral hujung tahun ini saya akan bergraduasi sekali lagi di USIM dalam bidang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang Penjagaan Kuda. Saya juga mengajar memanah tradisional dari tahun 2018 lagi. Manakala secara sambilan, saya menjadi pembantu guru bagi Lian Malaysia (di Gombak Setia, Selangor) sebuah seni bela diri Melayu aliran buah pukul yang berasal dari Mersing, Johor Darul Ta'zim. Pengambilan pelatih baharu di sini sentiasa dibuka. Guru saya, Dr Wan Mohd Fazrul Azdi juga selalu memberi nasihat bahawa kita sebagai mahasiswa khususnya Pengajian Akidah dan Agama bukanlah menjadi pensyarah atau guru agama sahaja bila bergraduasi, tetapi bekerjalah dalam pelbagai bidang yang diminati, asalkan ianya halal dan memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Ilmu yang dipelajari di universiti amatlah berharga, dan janganlah menganggap ianya sia-sia. Setiap kehidupan kita telah diatur oleh Allah berdasarkan apa yang kita usahakan. Insya-Allah.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=