Majalah Al-Hikmah Edisi 15 2025
Allah SWT Tidak Mensia-siakan Setiap usaha dan Pengorbanan Hamba-Nya Berdasarkan tujuh belas faedah yang telah dikongsikan oleh Imam Al-`Izz ini, kita dapat lihat terdapat pelbagai nikmat dan keuntungan yang besar yang dapat diraih jika setiap ujian dan pengorbanan dalam kehidupan ini dihadapi dengan penuh kesabaran dan ketekunan. Dalam konteks kehidupan Muslim, menghadapi ujian dan pengorbanan dengan baik adalah antara bukti kerendahan diri seorang hamba di hadapan Allah SWT. Seorang hamba wajib menyedari bahawa seluruh urusan hidup ini bukanlah dalam kawalan dan kendalinya, laksana seorang determinis atau qadari. Bukan juga seperti seorang fatalis atau jabbari. Sebaliknya, seorang hamba hanya mampu berikhtiar dan berusaha dalam kemampuan dirinya sahaja sebagai seorang manusia yang telah diciptakan oleh al-Khaliq Yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Dalam Surah Ali Imran 3: ayat 195, Allah SWT telah menjelaskan kepada kita semua: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai- bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).” Selamat berhijrah tahun 1447H. Teruskan bermujahadah, berkorban, dan bersabar! MAJALAH AL HIKMAH | 37
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=