Majalah Al-Hikmah 14 | 2024

MAJALAH HIKMAH | 43 Abdul Basit : Nama saya Abdul Basit bin Mat Daik, anak ketiga daripada empat adik beradik. Saya berasal dari Terengganu, dan kedua-dua ibu bapa saya juga berasal dari negeri ini. Saya memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pasir Akar sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Imtiaz Besut, sebuah institusi yang menitikberatkan kecemerlangan akademik dan penghafalan Al-Quran. Seterusnya, saya melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Tahfiz di Darul Quran JAKIM, di mana saya mendalami bidang hafazan Al-Quran. Kemudian, saya meneruskan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Pengajian Akidah dan Agama di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, yang memberi tumpuan kepada pemahaman teologi Islam dan isu-isu kontemporari berkaitan. Saya sangat berminat dalam bidang talaqqi dan mendalami kitab-kitab turath. Minat ini mendorong saya untuk terus belajar dan mendalami ilmu Islam, bukan sahaja untuk manfaat diri tetapi juga untuk berkongsi ilmu tersebut dengan masyarakat. Firdaus : Soalan seterusnya, boleh saudara Basit ceritakan tentang pengalaman dan cabaran yang dihadapi dalam menjalani latihan industri di New Zealand? Abdul Basit: Latihan industri di New Zealand merupakan pengalaman baharu yang sangat bermakna bagi saya. Hidup di negara Barat dengan etika dan cara berfikir yang berbeza memberikan banyak pelajaran berharga. Malah, cabaran saya bermula seawal perjalanan apabila penerbangan saya terpaksa dibatalkan semasa transit di Australia, memaksa saya untuk mengatur semula perjalanan ke Christchurch. Setibanya di sana, salah satu cabaran utama ialah beradaptasi dengan komuniti Muslim yang mempunyai pelbagai latar belakang bahasa, bangsa, fikiran dan pendidikan. Di New Zealand, terutamanya di Christchurch, ramai umat Islam terdiri daripada pelarian yang datang dari negara- negara yang dilanda perang. Ini mencipta persekitaran yang penuh warna-warni, dengan pelbagai etnik yang memerlukan pendekatan inklusif dalam pengurusan hal ehwal agama. Bahasa juga menjadi cabaran besar. Pelbagai loghat bahasa Inggeris digunakan kerana komuniti yang berasal daripada bangsa yang berbeza, dan ini memerlukan usaha tambahan untuk memastikan komunikasi yang berkesan, terutamanya dalam penyampaian mesej agama. Selain itu, saya turut berdepan dengan cabaran kejumudan pihak-pihak tertentu mengenai hal ehwal Islam di sana. Masjid di New Zealand, khususnya di Christchurch, dianggap hanya sebagai tempat untuk solat dan ibadah, tidak seperti di Malaysia yang mengoptimumkan masjid sebagai pusat komuniti dan aktiviti. Idea untuk memperluaskan peranan masjid sering kurang mendapat sokongan daripada pihak-pihak ini, yang turut menyukarkan usaha dakwah Islam dalam pelbagai bidang kehidupan.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=