MAJALAH AL-HIKMAH EDISI 13-2024

ULASAN ARTIKEL: PERINGKAT PEMIKIRAN IMAM AL-ASH’ARI DALAM AKIDAH OLEH DR. MUHAMMAD RASHIDI WAHAB & PROFESOR MADYA DR. SYED HADZRULLATFI SYED OMAR Muhammad Azrie Bin Yuszaimie dan Muhammad Bahari Bin Abu Bakar, Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan. Imam Abu Hasan Al-Ash’ari merupakan pengasas aliran pemikiran akidah Asha’irah yang menjadi salah satu tunjang utama dalam mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Gelaran nama al-Ash’ari pula merupakan nisbah kepada keturunan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu Abu Musa al-Ash’ari r.a., yang merupakan datuk kepada Imam al-Ash’ari. Aliran ini mula muncul pada akhir kurun ketiga hijrah ketika Muktazilah masih berkuasa. Imam Al-Ash’ari yang pada awalnya berpegang kepada mazhab Muktazilah, kemudian beliau dilaporkan bertaubat dan bertindak keluar daripada aliran Muktazilah untuk bersama aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah selepas berlaku perselisihan pendapat dengan gurunya Abu Ali al- Jubba’i mengenai perbuatan Allah SWT berdasarkan konsep al-salah wa al-aslah . Al-Jubba’i tidak mampu mempertahankan akidah Muktazilah daripada pertanyaan Imam al-Ash’ari sehingga menimbulkan perasaan ragu-ragu dalam pemikiran Imam al-Ash’ari mengenai kebenaran fahaman Muktazilah tersebut. Ada yang mengatakan juga beliau keluar daripada Muktazilah disebabkan faktor lain iaitu berlaku keraguan terhadap Muktazilah yang terlalu mendahulukan akal berbanding Al-Quran dan As-Sunnah yang mencetuskan perdebatan antara beliau dengan gurunya. Selain itu, Imam Al-Ash’ari juga dikatakan telah bermimpi bertemu Rasulullah SAW pada bulan Ramadan yang mana baginda meminta beliau agar membela Al-Quran dan sunnahnya daripada dipermain-mainkan oleh aliran bidaah terutamanya Muktazilah. Peristiwa keluarnya Imam Al-Ash’ari daripada aliran Muktazilah telah mencetuskan pelbagai dakwaan, terutamanya oleh golongan Wahhabiyyah, yang mengatakan beliau telah melalui tiga peringkat sebelum kembali kepada Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Peringkat pertama adalah ketika Imam Al-Ash’ari berada dalam aliran Muktazilah sehingga berumur 40 tahun. Kemudian pada peringkat kedua pula adalah ketika beliau keluar dari Muktazilah dan menjadi pengikut Ibnu Kullab. Ketiga pula adalah ketika beliau keluar daripada pegangan Ibnu Kullab dan kembali kepada Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dengan mengarang karyanya al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah . Oleh itu, Ibn Taymiyyah dan pendokongnya mendakwa bahawa para pengikut Asha’irah sekarang merupakan pengikut Ibn Kullab dan bukan pengikut sebenar Imam al-Ash’ari dan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Bagi mereka, pegangan Imam al-Ash’ari pada peringkat ketiga adalah sama dengan pegangan kumpulan mereka yang dikatakan mengikut metode Imam Ahmad bin Hanbal, terutamanya dalam tidak melakukan takwilan terhadap nas-nas mutashabihat. Walau bagaimanapun, kisah Imam al-Ash’ari melalui tiga peringkat pemikiran tidak pernah disebutkan oleh mana-mana tokoh ulama silam. Tokoh- tokoh tersebut mustahil bersepakat atau sengaja melupakan kisah ini jika benar Imam al- 29

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=