MAJALAH AL-HIKMAH EDISI KE 12

Dengan kalam Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum dan salam sejahtera, bersyukur kita ke hadrat Allah Yang Maha Bijaksana dengan izin dan limpah kurniaNya dapat sekali lagi kita saksikan sebuah penerbitan majalah yang menjadi kebanggaan warga Pengajian Akidah dan Agama iaitu majalah Al-Hikmah edisi ke-12. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Rasul akhir zaman yang membawa rahmat kepada sekalian alam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat serta orang-orang yang mengikut jejak langkahnya sehingga hari akhirat. Penghasilan majalah ini mengumpulkan karya para pensyarah dan pelajar Pengajian Akidah & Agama yang berbentuk artikel ilmiah dan separa ilmiah. Majalah ini turut menjadi medium atau platform bagi para pensyarah serta pelajar untuk berkarya secara penulisan akademik atau bukan akademik. Tujuan penulisan majalah ini juga tidak lain dan tidak bukan untuk mencungkil dan menyerlahkan bakat penulisan dalam kalangan pelajar yang sememangnya sudah terpendam lama. Tema Majalah Al-Hikmah edisi ke-12 merangkumi dua cabang utama dalam bidang Pengajian Akidah & Agama iaitu Tasawwuf dan Perbandingan Agama yang memberikan pendedahan asas tentang adab-adab dalam kehidupan seharian, dialog dalam agama, toleransi dalam beragama, serta perkara-perkara asas dalam setiap agama. Setiap artikel dibahagikan kepada beberapa kolum seperti Tinta Pensyarah, Kalam Siswa dan Laporan Aktiviti Pelajar dalam Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama (PERWADAH). Pada kesempatan ini, ucapan setinggi-tinggi penghormatan dan terima kasih kepada para pengkarya yang sudi mewarnai dan menyumbangkan karya yang menarik dalam majalah ini. Seterusnya, ribuan terima kasih diucapkan kepada Ketua Program dan barisan pensyarah yang banyak membantu memantau proses gerak kerja Majalah Al-Hikmah edisi ke-12 ini. Sehubungan dengan itu, kami di pihak siding editor Majalah Al-Hikmah mengajak anda semua untuk berkarya dan menjadi sebahagian daripada penyumbang hasil penulisan di Majalah Al- Hikmah. Anda boleh menghantar karya-karya anda ke alamat e-mel Majalah Al-Hikmah iaitu alhikmah.perwadah@gmail.com. Diingatkan juga bahawa penulis bertanggungjawab terhadap penulisan masing-masing dan tidak semestinya penulisan di dalam majalah ini mewakili pihak Fakulti Kepimpinan & Pengurusan mahupun Universiti Sains Islam Malaysia. Akhir sekali, jutaan terima kasih diucapkan kepada barisan sidang editor yang telah bertungkus-lumus menyempurnakan dan menyiapkan wadah yang cukup bermakna ini daripada awal sehinggalah ia berjaya diterbitkan. Moga usaha ini diberkati dan diredhai Allah dan menjadi antara saham kebaikan di akhirat kelak. Selamat membaca. DARI SIDANG MEJA EDITOR 1

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=