MAJALAH AL-HIKMAH EDISI KE 12
Bertawakal dan Warak Dalam Bekerja dan Berikhtiar Menurut Imam Al-Muhasibi terdapat empat rujukan utama yang boleh dibuat bagi menolak salah tanggapan dan salah faham berkenaan konsep tawakal dan zuhud yang diamalkan dalam Islam iaitu 1) al-Quran, 2) al-Sunnah, 3) sirah Nabi dan sejarah salaf al-Salih, dan 4) kefahaman akal. Konsep zuhud dan tawakal dalam Islam tidak menafikan amalan bekerja dan berikhtiar oleh umat Islam seperti yang didakyahkan oleh para orientalis-Islamologis atau dianuti oleh para penganut bid’ah Jabbariyyah, Qadariyyah, Murji’ah dan sepilis (sekular- plural-liberal) moden. Kitab ini telah diterbitkan dalam bahasa Arab oleh pelbagai penerbit seperti Dar al-Fikr al-Lubn ā n ī , Muassasah al-Kutub al-Thaqafiyyah, Dar Ibn Khaldun, sejak tahun 1990 lagi. Oleh kerana kandungan kitab ini yang sangat baik, ramai penterjemah telah berusaha menghasilkan terjemahan bagi kitab Arab ini. Terjemahan ke Bahasa Inggeris telah dibuat oleh Dr. Adi Setia dengan tajuk Scrupulousness and the Pursuit of Livelihood pada tahun 2017. Terjemahan ke Bahasa Indonesia pula telah dibuat oleh Penerbit Turos Pustaka Indonesia dengan tajuk Jika Tuhan Mengatur Rezeki Manusia, Mengapa Kita Harus Bekerja? Memahami Ketentuan Rezeki, Meraih Ketenangan Hati pada tahun 2022. Kitab ini mengandungi 11 bab yang disusun secara sistematik. Dimulakan dengan penjelasan yang baik berkenaan konsep tawakal kepada Allah dan jaminan rezeki oleh Tuhan kepada semua makhluk-Nya. Seterusnya, Imam al-Muhasibi meneruskan perbincangan dengan tajuk kewajipan berikhtiar dan bekerja. Dihuraikan dengan baik amalan para anbiya’ dan salaf al-Salih dalam adab bekerja yang berlangsung serentak dengan amalan bertawakal kepada Allah SWT. Malah, perbincangan turut diteruskan dengan huraian mengenai konsep warak dan berhati-hati dalam bekerja agar tidak terjerumus dalam perkara yang syubhah dan haram. Banyak ayat al-Quran, hadis Nabi SAW dan contoh-contoh teladan daripada tokoh-tokoh awal Islam diberikan untuk kefahaman mengenai adab bekerja dalam Islam ini. Dalam al-Quran al-Karim terdapat pelbagai ayat yang menggesa agar umat Islam bekerja, berusaha, berikhtiar, beribadat dan bergerak bagi membangunkan diri, keluarga dan kehidupan. Dalam hadis Nabi SAW juga terdapat banyak hadis yang memerintahkan umat Islam untuk mencari rezeki yang halal, berusaha dengan betul dan bekerja dengan baik yang menunjukkan konsep bekerja yang sebenar dalam Islam. Begitu juga dalam sirah Nabi SAW dan sejarah para sahabat RA yang sangat rajin bekerja dan berusaha dalam pelbagai lapangan kehidupan. Oleh itu, secara ilmiah dan aqlinya, semua ini menunjukkan keselarian dan kesepaduan konsep ilmu dan amal dalam ajaran Islam. 13
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=