Al-Hikmah Edisi 11 | 2023

1 DARI SIDANG MEJA EDITOR Dengan kalam Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum dan salam sejahtera, bersyukur kita ke hadrat Allah Yang Maha Bijaksana dengan izin dan limpah kurniaNya dapat sekali lagi kita saksikan sebuah penerbitan majalah yang menjadi kebanggaan warga Pengajian Akidah dan Agama iaitumajalah Al-Hikmah edisi ke-11. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Rasul akhir zaman yang membawa rahmat kepada sekalian alam serta ahli keluarga Baginda dan para sahabat serta orang-orang yang mengikut jejak langkahnya sehingga hari akhirat. Penghasilan majalah ini mengumpulkan karya para pensyarah dan pelajar Pengajian Akidah & Agama yang berbentuk artikel ilmiah dan separa ilmiah. Majalah ini turut menjadi medium atau platform bagi para pensyarah serta pelajar untuk berkarya secara penulisan akademik atau bukan akademik. Tujuan penulisan majalah ini juga tidak lain dan tidak bukan untuk mencungkil dan menyerlahkan bakat penulisan dalam kalangan pelajar yang sememangnya sudah terpendam lama. Tema Majalah Al-Hikmah edisi ke-11 merangkumi dua cabang utama dalam bidang Pengajian Akidah & Agama iaitu Tasawwuf dan Perbandingan Agama yang memberikan pendedahan asas tentang tasawwuf dan kepentingannya serta kewujudan kepelbagaianagama di dunia. Setiap artikel dibahagikan kepada beberapa kolum seperti Tinta Pensyarah, Kalam Siswa dan Aktiviti Pelajar. Pada kesempatan ini, ucapan setinggi-tinggi penghormatan dan terima kasih kepada para pengkarya yang sudi mewarnai dan menyumbangkan karya yang menarik dalam majalah ini.Seterusnya, ribuan terima kasih diucapkan kepada Ketua Program dan barisan pensyarah yang banyak membantu memantau proses gerak kerja Majalah Al-Hikmah edisi ke-11 ini. Sehubungan dengan itu, kami di pihak editor Majalah Al-Hikmah mengajak anda semua untuk berkarya dan menjadi sebahagian dari penyumbang hasil penulisan di Al-Hikmah. Anda boleh menghantar karya-karya anda ke alamat e-mel Al-Hikmah iaitu alhikmah.perwadah@gmail.com. Diingatkan juga bahawa penulis bertanggungjawab terhadap penulisan masing-masing dan tidak semestinya penulisan di dalam majalah ini mewakili pihak Fakulti Kepimpinan & Pengurusan mahupun Universiti Sains Islam Malaysia. Akhir sekali, jutaan terima kasih diucapkan kepada barisan sidang editor yang telah bertungkus-lumus menyempurnakan dan menyiapkan wadah yang cukup bermakna ini daripada awal hinggalah ia berjaya diterbitkan. Moga usaha ini diberkati dan diredhai Allah dan menjadi antara saham kebaikan di akhirat kelak. Selamat membaca.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=