Al-Hikmah Edisi 11 | 2023
13 Islam amat menitikberatkan elemen menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan. Sehubungan itu, Islam melarang dan mengharamkan perkara- perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat. Implikasi daripada perbuatan membawang (mengumpat) amat besar kepada individu, masyarakat dan juganegara. Hal ini kerana, ia dapat merosakkan imej seseorang, menjatuhkan maruah orang lain, memecah- belahkan perhubungan antara suami-isteri, saudara- mara, sahabat-handai serta masyarakat. Malahan, perbuatan ini juga adalah asas kepada tersebarnya fitnah yang lebih besar. Ia bermula dengan menyebarkan perkara yang palsu dan aib yang natijahnya memutuskan silaturrahim, mencetuskan prasangka buruk dan hasad dengki. Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah mengklasifikasikan aktiviti ‘membawang’ atau mengumpat sebagai salah satu jenayah buli siber tanpa mengira ia berlaku di Twitter, Facebook, Instagram atau mana-mana laman media sosial. Dalam perundangan, mengikut seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia (AKM) 1998, perbuatan ‘membawang’ boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Secara lumrah, memperkatakan atau bercakap perihal individu lain merupakan fenomena yang tidak asing dalam masyarakat kita. Bagaimanapun, perkara ini bukanlah akhlak sebenar seorang Muslim kerana perbuatan ini merupakan suatu dosa besar. Justeru, setiap individu harus berwaspada dengan penggunaan istilah membawang dan lebih utama peranan lidah perlu dijaga bagi membentengi diri dari azab di alam barzakh dan di akhirat kelak. Teringat dengan untaian kata dalam Bahasa inggeris iaitu “watch before you leap, think before you speak” yang mengingatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam tindakan dan percakapan. Tuntasnya, setiap individu harus sentiasa peka dan berhati-hati dalam menggunakan istilah dan perbuatan membawang yang menjurus kepada umpatan terhadap hal ehwal individu lain bagimengelakkan dosa serta natijah buruk susulan dari perbuatan, tulisan, dan percakapan tersebut.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=