The Muamalat Newsletter Vol. 2 2023

FEM eNewsletter | Dec 2023 4 Sebagai salah satu inisiatif untuk merancakkan aktiviti pemasaran yang bertujuan memperkenalkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), khususnya Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), promosi secara bersasar telah dijalankan dengan mendekati pelajar sekolahmelalui pelbagai aktiviti interaktif. Antaranya adalah penglibatan FEM dalam Program Karnival Hala Tuju Kerjaya Murid SPM, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang dianjurkan oleh Pusat Tamhidi USIM pada 9 dan 10 Oktober 2023. Program ini melibatkan 460 pelajar dari 12 buah sekolah sekitar Selangor, Negeri Sembilan, dan Melaka. Pengisian sepanjang program ini meliputi taklimat berkaitan bidang pengajian yang ditawarkan, aktiviti interaktif bersama fakulti, dan sesi lawatan sekitar USIM. Objektif utama program ini adalah memberikan pendedahan awal kepada peserta mengenai peluang pengajian yang ditawarkan di USIM, di samping membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membina pelan hala tuju kerjaya yang jelas, hasil daripada perkongsian program yang dijalankan. Tambahan lagi, program ini dapat membina jaringan dua hala antara USIM dan pihak sekolah serta Bahagian Pendidikan Islam (BPI) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). FEM juga tidak melepaskan peluang untuk menyediakan aktiviti menarik seperti permainan Muamalat Interactive Game (MIG). Dalam pelaksanaan permainan ini, Sekretariat Mahasiswa FEM (SekreFEM) turut terlibat membantu memberikan tunjuk ajar dan bermain bersama pelajar sekolah. Permainan MIG ini merupakan aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan dan berguna kerana mengandungi kontrak- kontrak Islam dalam transaksi antara pihak yang berkontrak, seperti ijarah, tawarruq, rahnu, murabahah dan lain-lain. Permainan MIG ini bukan sahaja dapat memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah, bahkan mampu menarik minat mereka untuk mendalami bidang muamalat dan memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang berkaitan. Lawatan ke fakulti turut dijadualkan yang bertujuan memberikan peluang kepada pelajar sekolah untuk merasai suasana pembelajaran di USIM. Mereka diberi kesempatan berjalan-jalan di beberapa fakulti yang terlibat untuk melihat persekitaran dan kemudahan yang disediakan. Program ini diharapkan dapat memberi impak positif terutama dalam membentuk pemikiran pelajar mengenai hala tuju selepas tamat SPM. Disediakan oleh: Dr. Suhaida Herni Suffarruddin Dr. Nurul Adilah Hasbullah Penyelaras Pemasaran Program Akademik Fakulti Ekonomi dan Muamalat Karnival Hala Tuju Murid 2023

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=