ABSTRACT COMPILATION - EduGC 2025
63 / 87 ABSTRACT: E-gamifikasi yang dibangunkan di Minecraft ini dinamakan sebagai Dunia Kota Falsafah Islam. Dunia Kota Falsafah Islam ini telah dibangunkan dengan mengambil inspirasi kota Baghdad sesuai dengan perkembangan falsafah yang sangat gemilang di kota tersebut pada abad pertengahan. Pengembaraan di Kota Falsafah Islam ini pemain akan belajar sambil bermain tentang Falsafah Islam. Nama, pemikiran dan penulisan ahli falsafah Islam adalah sangat penting, namun ia sering sukar untuk diingati oleh pelajar. Kaedah pengajaran tradisional yang berasaskan teks didapati kurang berkesan untuk mengatasi masalah tersebut. Oleh itu, permainan ini dibangunkan bagi menyampaikan kandungan falsafah ini secara visual dan interaktif seperti kursus-kursus lain yang sudah mula mengambil Langkah yang sama. Penggunaan medium pendidikan yang inovatif ini mampu menterjemahkan falsafah Islam ke dalam bentuk pengalaman yang konkrit dan menarik kepada pelajar atau pemain. Platform permainan digital seperti Minecraft menawarkan peluang unik untuk mengatasi cabaran pedagogi ini. Projek ini bertujuan untuk membangunkan sebuah dunia digital dalam Minecraft yang berfungsi sebagai platform pembelajaran interaktif bagi falsafah Islam. Objektif utamanya adalah untuk membolehkan pelajar dan pemain dapat mengenal ahli falsafah, penulisan dan asas pemikiran mereka melalui interaksi, penerokaan, dan visualisasi permainan Minecraft. Ciri-ciri utama termasuk pembinaan struktur seni bina yang diinspirasikan Tamadun Islam abad pertengahan, laluan penceritaan interaktif dan kuiz yang menguji pemahaman pengguna. Pemain akan mengembara ke setiap tempat atau bangunan yang telah dibina di dalam Dunia Falsafah Islam iaitu, Pusat Islam (USIM), Rumah Kebijaksanaan, Hospital Besar, Universiti Kota Falsafah, Masjid Jamik dan Istana Kehakiman. Pada setiap tempat, pelajar akan diperkenalkan dengan beberapa ahli falsafah yang penting dan penulisan mereka. Dunia Falsafah Islam dibangunkan secara khusus bagi kursus Falsafah Islam yang kebiasaannya menjadi subjek wajib bagi mahasiswa yang mengikuti jurusan Usuluddin, Pengajian Akidah dan Pemikiran Islam. Permainan ini juga boleh digunakan oleh tenaga pengajar kursus ini untuk memberikan pengalaman yang berbeza kepada para pelajar. Selain itu, orang awam dalam kalangan belia yang meminati pengajian ilmu Faslafah Islam juga boleh memanfaatkan permainan ini. Dalam konteks di USIM, permaian e-gamifikasi Dunia Falsafah Islam ini dapat digunakan sebagai aktiviti atas talian kerana kursus ini ditawarkan sebagai kursus PTG.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=