ABSTRACT COMPILATION - EduGC 2025

35 / 87 ABSTRACT: Jejak Parameswara ialah sebuah permainan pendidikan digital interaktif yang dibangunkan menggunakan Unity, berdasarkan kisah sejarah perjalanan Parameswara dari Palembang sehingga detik simbolik penemuan lokasi strategik di Tanah Melayu. Permainan ini mengetengahkan babak penting seperti pelarian dari Palembang, konflik di Temasek, serta peristiwa kancil menendang anjing yang menjadi inspirasi pemilihan lokasi yang bakal menjadi Melaka. Walaupun tidak merangkumi penubuhan rasmi Melaka, permainan ini menyampaikan perjalanan awal Parameswara secara dramatik dan berfakta. Permainan ini dibangunkan khas untuk murid Tahun 4 selaras dengan silibus Sejarah Malaysia. Namun, kandungannya turut sesuai untuk pelajar sekolah menengah, guru, ibu bapa, dan umum yang ingin memahami sejarah tempatan secara lebih menarik. Pendekatan gamifikasi yang digunakan membantu meningkatkan minat pelajar dan memudahkan pemahaman sejarah melalui pengalaman interaktif. Ciri-ciri utama termasuk sistem misi bertahap, fakta NPC interaktif, mini-game sejarah, AI askar Majapahit, serta cutscene gaya anime dengan narasi Bahasa Melayu. Setiap misi direka untuk menyampaikan fakta sejarah sambil mengekalkan elemen permainan yang menyeronokkan dan mencabar. Pemain akan berinteraksi dengan watak sejarah, menyelesaikan tugasan, dan mengumpul fakta dalam suasana visual dan audio yang hidup. Jejak Parameswara bukan sahaja sebuah alat bantu mengajar, tetapi juga satu medium penceritaan sejarah digital yang mampu menarik minat generasi muda terhadap warisan negara. Permainan ini berpotensi digunakan dalam kelas, sebagai aktiviti pembelajaran kendiri, atau sebagai bahan bantu mengajar berasaskan teknologi di sekolah rendah.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=