ABSTRACT COMPILATION - EduGC 2025

12 / 87 ABSTRACT: Malaysia mempunyai kepelbagaian etnik yang diidentifikasikan dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan agama. Kepelbagaian ini merupakan keunikan yang perlu dihargai dan dinikmati bersama dalam konteks penyatuan kaum. Namun, kepelbagaian ini sering dilihat sebagai satu perbezaan yang menjarakkan hubungan antara berlainan kaum. Justeru, pemahaman terhadap etnik dan budaya yang pelbagai ini adalah penting terutamanya kepada generasi muda agar kepelbagaian yang wujud tidak dilihat sebagai jurang sosial sebaliknya merupakan keunikan yang perlu dihargai dan dimanfaatkan bersama. Oleh yang demikian, satu permainan atas talian dibina untuk meningkatkan kefahaman generasi muda mengenai kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia. Aplikasi GDevelop digunakan bersesuaian dengan pelajar sekolah rendah yang merupakan kumpulan sasaran bagi permainan atas talian ini. Mereka dipilih kerana pembentukan persepsi positif terhadap bangsa lain perlu dipupuk sedari awal usia seperti melentur buluh dari rebungnya. Permainan jenis platform diaplikasikan dengan melibatkan tiga tahap yang mana pada setiap tahap mempunyai set soalan kuiz berkisar tentang i) tradisi dan budaya, ii) keagamaan, dan iii) kenegaraan. Setiap tahap mempunyai video naratif melalui penceritaan dari avatar yang menerangkan setiap tahap tentang kebudayaan Malaysia. Permainan ini juga melibatkan pencapaian markah bagi melihat tahap kefahaman pemain berkenaan budaya Malaysia dan kutipan ganjaran berbentuk syiling bagi melihat kemahiran pemain. Namun markah ini bukan bersifat kompetitif mutlak, sebaliknya permainan ini lebih kepada meraikan minat bereksplorasi dengan ilmu budaya dan kenegaraan Malaysia. Malahan, pemain diberikan jawapan yang betul secara automatik bagi memberi ruang kepada pemain untuk belajar dari kesilapan tanpa tekanan terhadap pencapaian. Implikasinya, permainan atas talian ini berpotensi untuk meningkatkan kefahaman generasi muda terutamanya kanak-kanak dalam konteks pengajaran yang lebih santai, seronok dan menarik, sesuai dengan keupayaan minda pelajar sekolah rendah untuk memahami dan menghargai kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=